PETALING JAYA: Parti Keadilan Rakyat (PKR) menafikan dakwaan bahawa Ketua Polis Negara yang baharu, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail, pernah menjadi ahli parti atau memegang sebarang jawatan dalam kepimpinan PKR, seperti yang tersebar di media sosial melalui laporan sebuah akhbar tempatan semalam.
Setiausaha Agung PKR, Fuziah Salleh, berkata penyebaran maklumat tidak tepat itu boleh mencemarkan kredibiliti Khalid sebagai Ketua Polis Negara serta menimbulkan salah tanggapan terhadap PKR sebagai parti pemerintah.

“Kesilapan ini boleh menimbulkan persepsi negatif seolah-olah pelantikan Khalid dibuat atas pertimbangan politik, sedangkan beliau tidak pernah menjadi ahli PKR mahupun memegang sebarang jawatan dalam parti,” katanya dalam kenyataan yang dipetik oleh Bernama.
Fuziah menyatakan kekesalan PKR atas penyiaran maklumat tidak tepat itu, khususnya yang mendakwa Khalid pernah menjadi ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR serta pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Kedah. Beliau turut menggesa pihak akhbar terbabit menjalankan siasatan dalaman berhubung kesilapan tersebut.
Sebagai bukti, Fuziah turut melampirkan senarai Pengerusi MPN Kedah mengikut tahun pelantikan, yang jelas menunjukkan nama Khalid tidak pernah tersenarai.
Khalid Ismail, 60, yang dilantik sebagai Ketua Polis Negara ke-15 menggantikan Tan Sri Razarudin Husain, mempunyai pengalaman luas dalam perkhidmatan polis termasuk pernah mengetuai Cawangan Khas Pahang sejak 2018, dan dilantik sebagai Ketua Penolong Pengarah E2 Cawangan Khas Bukit Aman pada 6 September 2021.
Baca juga: