PKR Sabah Nafi Dakwaan Anggap GRS ‘Liabiliti’

KOTA KINABALU: Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah tampil menjelaskan kenyataan yang dikaitkan dengan isu “liabiliti” terhadap Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Ketua Penerangan PKR Sabah, Ahmad Farid Sainuri berkata, kenyataan Pengerusi PKR Sabah, Datuk Mustapha Sakmud sebelum ini hanya dibuat sebagai respon kepada pandangan Ketua Penerangan UMNO Sabah, Datuk Suhaimi Nasir.

Suhaimi sebelum ini menolak kerjasama rasmi dengan GRS kerana menganggapnya sebagai liabiliti berikutan isu-isu rasuah dan pentadbiran.

“Datuk Mustapha tidak pernah meletakkan GRS sebagai liabiliti dalam kerjasama politik bagi menghadapi PRN. Beliau hanya menyatakan kegusaran terhadap kenyataan UMNO Sabah, bukannya menolak GRS,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Menurut Ahmad Farid, laporan media yang memetik kenyataan Mustapha perlu difahami dalam konteks sebenar dan tidak wajar disalahertikan sehingga menimbulkan kekeliruan.

Beliau menegaskan bahawa fokus utama PKR Sabah adalah memastikan kestabilan politik di peringkat negeri dan pusat demi kesejahteraan rakyat.

“Fakta utama yang perlu difahami ialah bagaimana PKR Sabah konsisten dalam memastikan kestabilan politik di peringkat nasional dan negeri,” ujarnya.

Ahmad Farid berkata, PKR Sabah juga menghormati kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor serta menghargai kerjasama baik yang terjalin antara GRS dan PH sejak kerajaan negeri dibentuk.

“Kerjasama baik antara PH dan GRS perlu dipertahankan, bukannya dipertikai atau dicabar. Malah, Perdana Menteri bersama PH Sabah sebelum ini telah menyelamatkan kerajaan negeri daripada cubaan pertukaran kuasa menerusi ‘Langkah Kinabalu’,” katanya.

Dalam masa yang sama, PKR Sabah menggesa rundingan kerusi Pilihan Raya Negeri (PRN) dimuktamadkan segera secara adil dan strategik.

Ahmad Farid menekankan bahawa kejelasan mengenai pembahagian kerusi penting supaya jentera dapat digerakkan lebih awal menjelang PRN ke-17 yang dijangka berlangsung selepas pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) pada November depan.

“Pendekatan berunding mestilah bersama pimpinan PH Sabah dan bukannya hanya dengan parti-parti komponen saja. Ia perlu menyeluruh agar strategi pilihan raya lebih mantap dan harmoni,” katanya.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat