KOTA KINABALU: Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah menyifatkan keputusan kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk tidak meneruskan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi berhubung pemberian khas 40 peratus hasil Sabah.
Jelas tindakan itu sebagai satu langkah bersejarah dan keberanian politik yang mengembalikan hak rakyat negeri itu selepas hampir lima dekad penantian.
Dalam kenyataan media, Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Sabah, Datuk Mustapha Sakmud berkata, keputusan itu membuktikan komitmen Kerajaan Madani dalam menghormati semangat dan roh Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) bukan sekadar di atas kertas tetapi diterjemahkan melalui tindakan berani dan berprinsip.
“Ini adalah titik pemulihan keadilan fiskal yang telah lama dinantikan rakyat Sabah.
“Keputusan ini menunjukkan kepimpinan PMX benar-benar memahami denyut nadi perjuangan rakyat negeri ini,” katanya.
Menurut Mustapha, PKR Sabah menzahirkan penghargaan kepada Perdana Menteri serta barisan Jemaah Menteri atas keputusan yang berlandaskan prinsip keadilan dan semangat persekutuan sejati yang diyakininya akan memperkukuh keyakinan rakyat terhadap Kerajaan Pusat.
Beliau turut menyambut baik komitmen kerajaan untuk memulakan rundingan segera dengan Kerajaan Negeri Sabah selepas Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Sabah bagi memastikan pelaksanaan mekanisme pengagihan 40 peratus hasil dijalankan secara adil dan telus.
“Rundingan ini mesti dilaksanakan dengan semangat kerjasama dan keikhlasan tanpa permainan politik atau kepentingan sempit.
“Yang utama ialah memastikan hasil Sabah benar-benar kembali kepada pembangunan wilayah dan kesejahteraan rakyatnya,” tambahnya.
Mustapha berkata, langkah itu bukan sahaja menutup lembaran panjang ketidakpastian tetapi turut membuka era baharu hubungan Persekutuan-Sabah yang lebih matang dan saling menghormati.
“Harapan Urang Sabah – Sabah Maju Bersama Madani,” katanya.








