SHAH ALAM: Majlis Pimpinan Negeri PKR Selangor secara terbuka menyatakan sokongan penuh terhadap pencalonan Nurul Izzah Anwar sebagai Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) menjelang pemilihan parti akan datang.
Sokongan itu diumumkan menerusi satu kenyataan media bersama yang ditandatangani oleh Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri, Datuk Seri Amirudin Shari serta barisan kepimpinan 19 Ketua Cabang PKR seluruh Selangor.
“Parti ini tidak lahir atas dasar pangkat atau kedudukan, tetapi dibina atas perjuangan rakyat.
“Dalam semangat itu, kami percaya Nurul Izzah adalah calon terbaik untuk mengisi jawatan Timbalan Presiden,” kata Amirudin yang juga Menteri Besar Selangor.
Menurut kenyataan itu, PKR memerlukan seorang pemimpin yang tidak terikat dengan beban pentadbiran kerajaan agar dapat memberikan tumpuan penuh kepada pengukuhan parti, khususnya dalam menghadapi Pilihan Raya Umum akan datang.
Nurul Izzah digambarkan sebagai tokoh yang konsisten dalam perjuangan sejak awal reformasi serta berprinsip dan berdedikasi dalam tugas-tugas parti dan pentadbiran.
Pengalaman beliau sebagai bekas Ahli Parlimen dan Naib Presiden parti turut disebut sebagai bukti kewibawaannya.
“Beliau bukan hanya simbol idealisme reformasi tetapi juga pemimpin yang telah diuji dan terbukti.
“Sokongan ini bukan soal warisan nama tetapi tentang harapan baru dan penyatuan semangat perjuangan parti,” tambah kenyataan itu.
Sokongan padu ini dijangka memberi impak besar dalam pemilihan parti kali ini, memandangkan Selangor merupakan negeri terpenting dan terkuat dalam struktur PKR.
PKR dijadual mengadakan pemilihan pusat pada 23 Mei di sebelah siang, diikuti dengan majlis perasmian Kongres Nasional pada sebelah malam