PKR Wilayah Persekutuan Umum Barisan Kepimpinan Baharu Sesi 2025–2028

PETALING JAYA: Parti Keadilan Rakyat (PKR) Wilayah Persekutuan pada Selasa mengumumkan barisan kepimpinan baharu bagi sesi 2025–2028 hasil Mesyuarat Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Bilangan 1/2025 yang dihadiri sembilan Ketua Cabang.

Mesyuarat itu membincangkan hala tuju dan struktur organisasi baharu parti di peringkat negeri bagi memastikan gerak kerja lebih tersusun serta perkhidmatan terbaik kepada anggota dan masyarakat.

Ketua Cabang Putrajaya, Muhammad Fikri Khalid @ Abdul Aziz dilantik sebagai Timbalan Pengerusi MPN Wilayah Persekutuan.

Manakala dua Naib Pengerusi baharu diumumkan iaitu pelakon dan aktivis Datuk Afdlin Shauki sebagai Ketua Cabang Setiawangsa serta Thiyagaraj Sankaranarayanan sebagai Ketua Cabang Seputeh.

Turut dilantik, Mohamad Mahathir Mohamed Younos sebagai Setiausaha MPN, Datuk Mak Foo Wei sebagai Bendahari, dan Muhammad Abdullah Kamsani sebagai Ketua Penerangan Negeri.

Ketua Cabang Batu, Asheeq Ali pula dilantik sebagai Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Negeri, dengan Wan Nur Aishah Ahmad Fazli sebagai Timbalan Ketua AMK. Jamilah Awang dari Cabang Lembah Pantai dinamakan sebagai Ketua Wanita Negeri, manakala Zainab Nayan sebagai timbalannya.

Pengerusi MPN Wilayah Persekutuan, Datuk Azman Abidin berkata, barisan baharu ini mencerminkan keterangkuman serta keseimbangan pengalaman, profesionalisme dan kepelbagaian gender.

“Pelantikan ini diharap memperkukuh peranan PKR sebagai tunjang kekuatan Pakatan Harapan Wilayah Persekutuan serta mendukung semangat Malaysia Madani,” katanya.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat