Oleh: Tyah Helmi
PETALING JAYA: Calon serta penyokong pemilihan pusat Parti Keadilan Rakyat (PKR) sekali lagi ditegaskan untuk tidak membuka pekung parti serta melancarkan serangan peribadi yang boleh mencemarkan imej parti.
Dalam satu ucapan yang penuh emosi oleh Pengerusi PKR Wilayah Persekutuan, Datuk Azman Abidin pada ‘Temu Rapat Akar Umbi’ di Kuala Lumpur semalam, beliau menekankan kepentingan menjaga keharmonian dalam pertandingan pemilihan parti itu.

“Saya nak bagitahu bahawa, pertandingan kali ini adalah pertandingan undian yang melibatkan adik beradik serta sahabat, (jadi) tak sepatutnya kita mencalarkan imej parti, kita semua sayang parti (PKR).
“Jadi bila kita ada pertandingan, kita kena jaga aib parti, bukan sahaja aib-aib parti tetapi juga sahabat, yang bertanding kita elakkan buat serangan-serangan peribadi dan sebagainya.
“Kerana akhirnya matlamat kita di sini, untuk memastikan bahawa keadilan dan dapat nobatkan PM (Datuk Seri Anwar Ibrahim) sebagai PM ke-11 boleh?,” katanya.
Azman turut melarang kesemua perwakilan serta ahli anggota untuk memainkan sentimen perbandingan serta tokok banding berkait kelemahan, sumbangan dan jasa antara satu sama lain yang dianggap sebagai serangan yang tidak adil.

“Kita tak boleh nafikan atau bandingkan orang, semuanya ada sumbangan, kita tak boleh menyatakan orang ini ada sumbangan-orang itu tiada sumbangan, orang ini menang dan orang ini tidak boleh menang, tidak boleh.
“Semua (anggota) ada sumbangan sejak penubuhan parti lagi, semua orang ada sumbangan, saya tak nafikan, jadi tak adil lah kalau kita menyatakan serangan sebegitu dan ianya tidak betul,” ujarnya.
Sehubungan itu katanya, kemenangan sebenar buat partinya adalah hasil sumbangan oleh kekuatan semua ahli-ahli anggota, akar umbi, ketua-ketua cabang serta pimpinan pusat dan bukannya berdasarkan individu.

Terdahulu, senario pertandingan pemilihan pusat parti (PKR) sering dihangatkan dengan isu serangan peribadi, pendedahan kelemahan dan kekuatan parti dikhalayak ramai di negara ini.
Ketika ini, merupakan musim berkempen buat kesemua calon-calon kesemua kategori pertandingan itu sebelum bertempur di hari sebenar pada Kongres Nasional PKR termasuk Kongres Angkatan Muda Keadilan dan Wanita dijadual berlangsung pada 22 hingga 24 Mei ini di Johor Bahru, Johor dengan pemilihan pimpinan pusat ditetapkan pada 23 Mei.
Baca juga: