PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Anwar Ibrahim dijangka akan membuat pengumuman penting mengenai Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) pada Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam (MAPPA) ke-19, yang diadakan pagi ini di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).
Anwar dijangka untuk menyampaikan amanat khas perkhabaran baik buat penjawat awam iaitu kenaikan gaji dan struktur pemberian elaun kepada kakitangan kerajaan pada pukul 9.45 pagi.
Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan menzahirkan harapan kepada seluruh Pegawai Awam sejurus selepas pengumuman Perdana Menteri itu nanti agar menjadi pemangkin mutu khidmat yang dinamik.
” Memantapkan sistem penyampaian perkhidmatan awam agar isu keluhan rakyat seperti di kaunter dapat diatasi dengan efisien,” katanya.
Pengumuman penting itu nanti dijangka akan menarik perhatian ramai khususnya dalam kalangan penjawat awam.
MAPPA ke-19 yang bertemakan ‘Perkhidmatan Awam Madani’ pada tahun ini, menyaksikan sebanyak 32 reruai kementerian dan agensi akan dibuka untuk memberikan perkhidmatan kepada penjawat awam serta orang ramai.
MAPPA ke-19 merupakan platform bagi Perdana Menteri untuk berkongsi amanat atau dasar kerajaan, dan ini merupakan penganjuran semula selepas kali terakhir diadakan pada tahun 2022.
Ikuti Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam ke-19 (MAPPA XIX) di portal dan semua saluran sosial media Malaysia Bangkit.