Oleh: Tyah Helmi
PETALING JAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyalurkan peruntukan bagi membina semula titi gantung di Lata Rek, Kuala Krai, Kelantan akibat insiden runtuhan Khamis lalu.
Menerusi kenyataan media yang dikeluarkan oleh Jabatan Perdana Menteri pada Jumaat, Anwar memandang serius akan insiden runtuhan itu yang mengakibatkan kecederaan kepada beberapa orang awam serta menjejaskan akses harian ke atas penduduk sekitar Kampung Pasir Jering, Dusun Ban, Dusun Banut dan Kampung Batu Pagar.
“Perdana Menteri menzahirkan simpati dan keprihatinan mendalam kepada lebih 50 mangsa yang terlibat dalam kejadian itu, khususnya pasangan pengantin dan keluarga yang diuji dengan musibah.
“Susulan insiden itu, Perdana Menteri telah mengarahkan agar peruntukan disediakan bagi menggantikan jambatan berkenaan segera demi keselamatan dan kemudahan rakyat,” katanya.

Kata beliau, kerja-kerja penggantian jambatan itu dilaksanakan oleh Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri dengan kerjasama agensi-agensi berkaitan bagi memastikan tindakan pantas, berkesan serta menjamin keselamatan dan akses penduduk setempat.
Sebelum ini, hari yang penuh bahagia buat pasangan pengantin baharu bertukar tragedi apabila sebuah titi gantung yang dilalui para tetamu mereka, tiba-tiba runtuh sehingga menyebabkan 50 mangsa terjatuh ke dalam Sungai Chatel Damai, Lata Rek, Kuala Krai, Kelantan pada Khamis.
Menurut Penghulu Mukim Lata Rek, Mohd Zaki Saari, berkata insiden kira-kira jam 2 petang itu berlaku ketika rombongan tetamu pengantin lelaki ‘bertembung’ kumpulan tetamu pengantin perempuan di atas titi berkenaan.
“Kejadian itu menyebabkan seorang lelaki patah kaki akibat terjatuh ke atas batu sungai, manakala seorang kanak-kanak cedera di kepala dan menerima beberapa jahitan.
“Selain itu, tiga lagi mangsa mengalami luka ringan dan sesak nafas,” katanya.
Mohd Zaki berkata, titi gantung itu sudah beberapa kali dibaiki sebelum ini kerana ia adalah kemudahan utama kepada penduduk yang menghuni lima rumah di kawasan berkenaan.
“Laluan ini (titi gantung) sering digunakan oleh penduduk untuk urusan harian, namun hanya boleh dilalui motosikal dan pejalan kaki.
“Walaupun ada laluan lain, jaraknya agak jauh dan juga boleh dilalui motosikal saja, sekali gus menyukarkan pergerakan,” ujarnya.
Baca juga:








