PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan tindakan segera diambil oleh Wisma Putra dan Kedutaan Malaysia di Itali bagi membantu seorang rakyat Malaysia, Dalila Zaidi, yang terkandas di Milan selepas pasportnya dicuri.
Arahan itu dibuat susulan ciapan tular Dalila di platform X, di mana beliau merayu bantuan setelah kehilangan pasportnya pada 30 Jun 2025 berhampiran stesen Santa Sofia.
“Salam Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, nama saya Dalila Zaidi dan saya seorang rakyat Malaysia yang kini terkandas di Milan selepas pasport saya dicuri pada sebelah petang semalam, 30 Jun 2025 berhampiran stesen Santa Sofia…Saya amat menghargai perhatian anda terhadap perkara ini,” ciapnya.
Perdana Menteri membalas ciapan tersebut lewat malam Selasa dengan menyatakan bahawa akan mengambil tindakan segera.
“Saya telah maklumkan perkara ini kepada MalaysiaMFA dan Kedutaan Malaysia di Itali untuk mengambil tindakan segera,” ciapnya.
Beliau turut memaklumkan perkara itu kepada Kementerian Luar Negeri bagi memastikan bantuan sewajarnya disalurkan dengan pantas.
Menurut Dalila, beliau telah mencuba mendapatkan Sijil Perjalanan Kecemasan daripada Kedutaan Besar Malaysia di Rom, namun dimaklumkan bahawa urusan tersebut tidak dapat diselesaikan kerana ketiadaan pegawai untuk menandatangani dokumen penting.
Difahamkan, ketiadaan pegawai itu berkait dengan lawatan rasmi Perdana Menteri ke Itali yang bermula pada hari sama.