PM Hormati Suara Anak Muda – PMO

PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak menganggap tindakan membakar karikatur beliau sebagai satu penghinaan, sebaliknya melihatnya sebagai petunjuk jelas bahawa rakyat terutamanya anak muda mahu perubahan dan reformasi dilaksanakan dengan lebih tegas.

Setiausaha Akhbar Kanan Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah memaklumkan bahawa Anwar yang lahir daripada gerakan mahasiswa dan pernah memimpin reformasi jalanan sangat memahami makna di sebalik protes itu.

“Semangat perubahan bermula dengan keberanian anak muda menyuarakan kebenaran berlandaskan fakta dan niat yang tulus,” katanya dalam taklimat harian PMO, hari ini.

Beliau berkata, kerajaan tidak memandang ringan mesej yang disampaikan dalam demonstrasi Gempur Rasuah Sabah 2.0 yang turut menyaksikan pembakaran karikatur Perdana Menteri serta paparan mesej “Madani Pelindung Rasuah Sabah”.

“Insiden ini mengingatkan kita betapa besarnya harapan rakyat agar rasuah dibanteras hingga ke akar umbi.

“Kritikan walau sepedas mana adalah sebahagian daripada demokrasi yang perlu diraikan,” katanya.

Tunku Nashrul turut berkata, komitmen Kerajaan MADANI terhadap agenda reformasi tidak akan terhenti, malah akan terus diperkukuh dan dilaksanakan secara menyeluruh.

Anda Mungkin Berminat