KUANTAN: Prihatin terhadap nasib rakyat yang hidup dalam serba kekurangan, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi Setiausaha Politiknya, Datuk Ahmad Farhan Fauzi tampil menghulurkan bantuan kepada seorang warga emas, Nawi Yusuf, yang menetap di Kampung Padang, di sini, Pahang.
Nawi, yang kini tidak mempunyai pendapatan tetap hanya bergantung kepada kasih sayang anak-anak dan kudrat yang semakin terbatas.
Menurut Ahmad Farhan, keadaan rumah yang didiaminya juga amat daif dengan dinding kayu yang bocor dan tidak lagi mampu melindungi beliau daripada panas, hujan mahupun ancaman keselamatan.
“Bagi pihak Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, saya menyampaikan sedikit sumbangan dan bakul makanan.
“Usaha lain sedang digerakkan agar bantuan sewajarnya dapat disampaikan secepat mungkin termasuk memperbaiki keadaan tempat tinggal beliau,” katanya selepas menziarahi Nawi di kediamannya.
Beliau turut menzahirkan doa agar urusan Nawi sekeluarga dipermudahkan segala urusan.
“Semoga Allah SWT sentiasa merahmati dan mempermudah segala urusan Nawi,” ujarnya.