PETALING JAYA: Kerajaan komited menjadikan pemikiran dan karya-karya Profesor DiRaja Terpuji, Tan Sri Syed Muhammad Naquib Al-Attas untuk pembangunan ilmiah rakyat melalui kegiatan yang bakal dirancang.
Perdana Menteri berkata demikian selepas menziarahi filasuf bangsa yang juga ilmuwan ulung tanah air semalam.
“Pertemuan dengan guru kami dalam suasana kekeluargaan ini tentu saja mengimbau kenangan lampau sewaktu mahasiswa, tatkala mendampingi beliau menelaah teks karya-karya besar khususnya ‘Islam dalam Sejarah dan Kebudayaan Melayu’ serta ‘Islam and Secularism’.
“Sebagai anak muda ketika itu, saya turut bertuah kerana sering terlibat menyaksikan wacana dan perdebatan ilmiah yang begitu mengasyikkan antara beliau dan seorang lagi gergasi ilmuwan negara yang juga merupakan kekanda beliau, Prof Dr Syed Hussein Al-Attas,” katanya pada Ahad.
Anwar turut mengimbau peranan instrumental Dr Syed Muhammad Naquib sebagai pengasas Institut Pemikiran dan Tamadun Islam Antarabangsa (ISTAC) yang telah menarik minat generasi ilmuwan tersohor dari seluruh dunia untuk melanjutkan pengajian, mengajar dan melaksanakan penyelidikan ilmiah di Malaysia.
“… yang sememangnya menjadi keutamaan saya sewaktu diberi amanah selaku Menteri Pendidikan dan kemudiannya Timbalan Perdana Menteri.
“Khutub khanah ISTAC sememangnya tersohor sebagai antara perpustakaan terunggul di negara Islam yang menghimpunkan koleksi khas bahan ilmiah, kesusasteraan dan ketamadunan serta kebudayaan untuk pengajian peringkat tinggi,” katanya.
Dr Syed Muhammad Naquib juga sempat menitipkan nasihat mengenai pentingnya keyakinan dan kefahaman Islam yang benar berasaskan suluhan dan petunjuk Al-Quranul Karim.
Turut hadir dalam kunjungan tersebut ialah Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Zambry Abdul Kadir dan Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar.
Baca juga: