PM Ketemu TYT Melaka, Perkukuh Pembangunan Negeri dan Kesejahteraan Rakyat

MELAKA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, hari ini, mengadakan kunjungan rasmi ke Istana Melaka bagi menghadap Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri, Tun Seri Setia Dr Mohd Ali Rustam.

Menurut satu hantaran di Facebook Anwar, kunjungan julung kali itu disifatkan sebagai platform penting untuk membincangkan usaha memperkukuh pembangunan negeri serta mempertingkat kesejahteraan rakyat Melaka.

“Pertemuan ini menjadi ruang yang ampuh untuk saya bertukar pandangan terutamanya perihal pembangunan negeri serta upaya kita memperkasa kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negeri Melaka,” katanya.

Perdana Menteri turut memberi jaminan bahawa Kerajaan Persekutuan di bawah pentadbiran MADANI akan terus memperkukuh kerjasama dengan Kerajaan Negeri untuk memastikan kemajuan yang lebih inklusif.

“Insya-Allah, kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan dan Negeri lantas diperkukuh demi masa depan yang lebih terangkum dan lebih baik buat semua,” katanya lagi.

Beliau berkata, setiap inci tanah air perlu menikmati limpahan pembangunan secara adil dan saksama tanpa mengira negeri.

“Komitmen Kerajaan MADANI jelas, kita mahu setiap inci tanah air ini menikmati limpahan pembangunan secara bermaruah dan inklusif,” katanya.

Pertemuan tersebut turut mencerminkan iltizam kerajaan untuk memastikan tiada negeri yang dipinggirkan dalam agenda pembangunan negara secara menyeluruh.

Anda Mungkin Berminat