PETALING JAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengutuk sekeras-kerasnya serangan tentera Israel ke atas Iran yang disifatkan sebagai tindakan cuai dan membahayakan kestabilan rantau Asia Barat.
Menurut Anwar, serangan yang turut menyasarkan dan mengorbankan pemimpin kanan Iran itu merupakan cubaan terang-terangan untuk menggagalkan rundingan diplomatik antara Amerika Syarikat dan Iran.
“Ini adalah tindakan serius dan tidak bertanggungjawab yang berisiko mencetuskan ketegangan lebih besar di rantau yang sudah pun rapuh. Jelas sekali, serangan ini bertujuan mensabotaj rundingan yang sedang berlangsung antara Amerika Syarikat dan Iran,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Perdana Menteri turut menyatakan bahawa serangan ini berlaku ketika perhatian dunia tertumpu kepada kekejaman Israel terhadap rakyat Palestin di Gaza dan tekanan politik yang semakin meningkat terhadap Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu.

“Serangan ini tidak boleh dilihat secara terpisah. Ia datang pada ketika Israel sedang berdepan kritikan global yang semakin lantang terhadap tindakannya di Gaza dan kepimpinan Netanyahu sendiri,” katanya.
Sehubungan itu, Malaysia menyeru semua sekutu Israel khususnya negara yang mempunyai pengaruh, untuk menggunakan segala bentuk tekanan bagi menghentikan sebarang bentuk pencerobohan lanjut.
“Malaysia menggesa rakan-rakan Israel, terutamanya mereka yang mempunyai pengaruh dan keupayaan, supaya mengenakan tekanan maksimum untuk menghentikan tindakan agresif ini,” kata Anwar.
Tambahnya, masyarakat antarabangsa tidak boleh berdiam diri atau membenarkan sebarang tindakan yang menggagalkan usaha diplomasi serta mengancam keamanan dunia.
“Komuniti antarabangsa mesti tegas. Kita tidak boleh membenarkan tindakan unilateral yang menghancurkan peluang rundingan dan menambah derita rakyat di rantau itu,” katanya.
Baca juga: