PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyarankan agar pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang terlibat dalam insiden membakar karikatur beliau baru-baru ini tidak dikenakan tindakan buang universiti, sebaliknya diberi peluang kedua demi masa depan mereka.
Menurut Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, Perdana Menteri berpandangan bahawa kesilapan yang dilakukan pelajar terbabit tidak seharusnya menjejaskan laluan akademik mereka.
“Bagi YAB PM, mereka mungkin membuat kesilapan tetapi masa depan dan pengajian mereka jauh lebih penting dan perlu diutamakan,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook, hari ini.
Terdahulu, satu insiden telah berlaku ketika satu perhimpunan aman bertajuk “Gempur Rasuah Sabah 2.0” diadakan di Lintasan Deasoka, Kota Kinabalu yang melibatkan sekumpulan pelajar yang menggelarkan diri sebagai Suara Mahasiswa UMS.
Pihak UMS dalam satu kenyataan berkata, universiti tidak terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam tindakan berkenaan, sambil menyifatkannya sebagai perbuatan yang tidak beradab dan tidak mencerminkan pemikiran intelektual seorang mahasiswa.
Zambry berkata, Kementerian Pendidikan Tinggi akan terus memantau perkembangan isu ini dan mengekalkan pendekatan yang bersifat mendidik dalam mengurus kes membabitkan pelajar.