PETALING JAYA: Keyakinan terhadap kepimpinan Ketua Polis Negara yang baharu, Datuk Seri Mohd Khalid, dizahirkan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam usaha memacu transformasi Polis Diraja Malaysia (PDRM) ke arah sebuah pasukan keselamatan yang moden, profesional dan seiring kehendak semasa negara.
Dalam satu pertemuan pada Isnin, Anwar menekankan keperluan untuk memodenkan pasukan PDRM bagi mendepani cabaran keselamatan semasa, termasuk dengan memanfaatkan teknologi canggih seperti kecerdasan buatan (AI).
“PDRM merupakan institusi penting kepada rakyat dan negara memerlukan iltizam dan komitmen tinggi bagi memastikan keamanan serta keselamatan negara terus dipertahankan,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Perdana Menteri turut menitipkan pesanan agar kepimpinan baharu PDRM berusaha mengangkat martabat pasukan keselamatan negara dengan memperkukuh nilai profesionalisme, integriti, dan kepercayaan awam, di samping menjaga kebajikan pegawai, anggota serta veteran pasukan itu.
“Justeru, saya titipkan pesanan agar kepimpinan baharu PDRM ini mampu mengangkat darjat sebagai badan keselamatan yang profesional, berintegriti dan dipercayai setiap pihak tanpa mengabaikan kebajikan pegawai, anggota dan veteran mereka,” katanya.
Di kesempatan itu, Anwar turut mengucapkan tahniah dan selamat maju jaya kepada Mohd Khalid yang sudah memulakan tugasnya.
“Selamat maju jaya kepada Datuk Seri Mohd Khalid, semoga dapat mengangkat aspirasi, imej serta reputasi PDRM ke peringkat tertinggi,” ujarnya.