PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan sumbangan kepada pasangan suami isteri, Ragulan dan Valliammah yang kini menghadapi cabaran besar selepas anak lelaki mereka, Kirthish, mengalami kecederaan otak serius akibat kemalangan.
Sumbangan tersebut disampaikan melalui Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Ahmad Farhan Fauzi yang menziarahi kediaman keluarga berkenaan.
“Anak lelaki mereka, Kirthish, terlibat dalam satu kemalangan yang menyebabkan kecederaan otak serius dan kini hanya mampu terlantar di atas katil.
“Sejak kejadian itu, seluruh hidup mereka berubah,” kata Ahmad Farhan dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.
Demi memastikan keluarga dapat bertahan, Ragulan kini bekerja sebagai penghantar makanan Lalamove sementara Valliammah menjaga anak mereka sepenuh masa tanpa mengenal lelah atau jemu.
Ahmad Farhan turut menyampaikan salam simpati daripada Perdana Menteri dan meluahkan rasa tersentuh melihat kecekalan luar biasa pasangan tersebut.
Dalam hantaran sama, beliau mendoakan agar keluarga ini diberikan kekuatan dan sinar harapan untuk menempuhi hari-hari mendatang.