PM tarik perhatian dengan hantaran ‘mashup’ lagu K-pop

Oleh: Shafira Aziz

PETALING JAYA: Dalam lawatannya ke Korea Selatan, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mencuri perhatian ramai apabila memilih untuk berkongsi hantaran yang menggabungkan elemen budaya popular (pop culture).

Beliau memuat naik setiap hantaran lawatannya di Instagram dengan berlatarbelakangkan lagu-lagu Korean pop (K-pop).

Hantaran beliau diselitkam ‘mashup’ tiga buah lagu daripada kumpulan K-pop yang popular termasuk Love Shot oleh EXO, Crash & Burn oleh GOT7 dan Kill This Love oleh BLACKPINK.

Langkah itu bukan sahaja menggambarkan hubungan baik dua negara tetapi juga menunjukkan sisi mesra dan dekat beliau dengan budaya global yang menjadi kegemaran ramai terutamanya generasi muda.

Rata-rata warganet turut mengulas positif tindakan beliau yang dianggap sebagai usaha untuk lebih dekat dengan rakyat khususnya dalam kalangan peminat K-pop di Malaysia.

“PMX ni nak ambil hati K-popers (peminat K-pop) ke?” komen Numk_21.

“Terhiburlah posting PMX bubuh lagu K-pop,” kata Myraindaeyooooo.

“Tak pernah ‘stalk’ Instagram PMX tapi sebab ada lagu K-pop kita ‘love’!” komen Chakiku.

Selain daripada hantaran dengan lagu ‘mashup’ tersebut, hantaran lain Anwar turut dipenuhi dengan lagu-lagu K-pop yang lain seperti lagu Monster oleh BIGBANG dan Come Back Home oleh 2NE1.

Untuk rekod, Anwar mengadakan lawatan rasmi ke negara berkenaan pada 24 hingga 26 November untuk mengukuhkan lagi hubungan dua hala ketika kedua-dua negara.

Selain itu, lawatan tersebut turut berjaya memperoleh potensi pelaburan mencecah RM32.8 bilion daripada pelbagai bidang.

Anda Mungkin Berminat