PM tegaskan himpunan aman depan Parlimen tidak wajar dihalang – Fahmi

PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan sebarang bentuk perhimpunan aman di hadapan Bangunan Parlimen tidak sepatutnya dihalang.

Menteri Komunikasi merangkap jurucakap Kerajaan MADANI, Datuk Fahmi Fadzil berkata perkara itu dibangkitkan Anwar dalam Mesyuarat Jemaah Menteri pada Jumaat yang turut menekankan keutamaan aspek keselamatan dan lalu lintas.

“Memang ada perbincangan sama ada wajar diwujudkan lokasi khas untuk mana-mana pihak menyerahkan memorandum, contohnya bukan di hadapan Parlimen.

“Tetapi Perdana Menteri berpendirian perhimpunan di hadapan Parlimen tidak harus disekat. Cadangan memindahkannya ke Padang Merbok juga ditolak,” katanya pada sidang media.

Dalam perkembangan lain, Fahmi berkata Anwar mengarahkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa, melakukan beberapa penambahbaikan di Padang Merbok.

“Antara yang diberi perhatian ialah pagar sekeliling Padang Merbok supaya ia lebih mesra dan boleh dimanfaatkan oleh orang ramai,” katanya.

Selasa lalu, media melaporkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) diarahkan membuka pintu masuk Padang Merbok agar ia boleh digunakan masyarakat untuk aktiviti riadah bersama keluarga dan komuniti.

Zaliha sebelum ini menegaskan, Padang Merbok yang mempunyai nilai sejarah tersendiri wajar dimanfaatkan sepenuhnya selaras dengan konsep Bandar CHASE yang mempromosikan gaya hidup sihat.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat