PM Terima Kunjungan Duta Khas Korea Selatan Di Putrajaya

PUTRAJAYA: Satu kunjungan hormat oleh Duta Khas Presiden Korea Selatan, Kim Young Choon kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah diadakan sempena lawatan kerja beliau ke Malaysia.

Dalam pertemuan itu, Kim menyampaikan salam hormat daripada Presiden Lee Jae-myung dan menzahirkan komitmen tinggi Korea Selatan untuk memperkukuh hubungan dua hala yang telah lama terjalin.

“Alhamdulillah, kedua-dua negara terus sepakat untuk memperluas kerjasama dalam bidang perdagangan, pelaburan, peralihan hijau, digital dan pertahanan,” kata Anwar menerusi satu hantaran di sosial media.

Untuk info, Korea Selatan kini merupakan rakan dagang kelapan terbesar Malaysia dengan jumlah dagangan bernilai RM112.7 bilion pada tahun lalu.

Dalam pertemuan tersebut, Perdana Menteri turut menyambut baik hasrat Korea Selatan untuk memuktamadkan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) dan menandatangani memorandum persefahaman berkaitan industri pertahanan menjelang Oktober.

Kata Anwar, kedua-dua pihak turut bertukar pandangan mengenai Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) 2025 yang akan berlangsung di Gyeongju dari 31 Oktober hingga 1 November, menjadikan Korea tuan rumah buat kali ketiga selepas tahun 1991 dan 2005.

“Malaysia menyokong penuh kepimpinan Korea dalam APEC 2025 bagi mengemudi agenda serantau yang progresif dan inklusif,” katanya.

Sebagai tanda hubungan erat yang berterusan, Anwar turut menyampaikan jemputan rasmi kepada Presiden Lee Jae-myung untuk menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 yang bakal berlangsung di Kuala Lumpur pada Oktober ini.

“Malaysia kekal komited memperkukuh kerjasama dengan Korea demi keamanan dan kemakmuran serantau yang berkekalan,” katanya.

Anda Mungkin Berminat