PM Terima Kunjungan Gerakan Belia 4B, Seru Penyelarasan Strategik

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima kunjungan hormat daripada Majlis Tertinggi Gerakan Belia 4B Malaysia yang diketuai oleh Pengerusinya, Mohd Ridhwan Mohd Ali, dalam satu pertemuan yang menyentuh masa depan gerakan belia sebagai pemacu kemajuan negara.

Pertemuan itu membuka ruang kepada perbincangan mendalam mengenai peluang kerjasama strategik antara Gerakan Belia 4B dan Kerajaan Persekutuan khususnya dalam memperkasa agenda belia yang inklusif dan berdaya saing.

Dalam satu hantaran di Facebook, Perdana Menteri berkata, kekuatan gerakan belia terletak pada akar umbi dan penyelarasan yang mantap antara pelbagai kumpulan.

“Saya menekankan kepentingan memperkukuh semangat dan mempererat penyelarasan antara Gerakan Belia 4B dengan kumpulan belia di peringkat akar umbi agar gerakan ini terus relevan dan berimpak,” katanya.

Beliau turut menitipkan pesanan agar setiap perancangan masa depan oleh Gerakan Belia 4B diselaraskan dengan Kementerian Belia dan Sukan serta agensi berkaitan, demi memastikan pelaksanaannya menyeluruh dan menepati aspirasi generasi muda hari ini.

“Pesanan juga dititipkan agar Gerakan Belia 4B memastikan setiap perancangan masa depan diselaraskan dengan Kementerian Belia dan Sukan serta agensi berkaitan supaya pelaksanaannya menyeluruh, berkesan dan menepati aspirasi generasi muda hari ini,” kata Anwar.

Kunjungan tersebut mencerminkan komitmen kerajaan dalam mendengar suara belia dan memperkukuh peranan mereka sebagai rakan strategik dalam pembangunan negara.

Anda Mungkin Berminat