Oleh: Shafira Aziz
PETALING JAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima kunjungan hormat delegasi Japan Bank for International Cooperation (JBIC) yang diketuai oleh Pengerusinya, Tadashi Maeda, yang turut berperanan sebagai Penasihat Khas kepada Kerajaan Jepun.
Pertemuan tersebut membuka ruang perbincangan mendalam tentang beberapa topik utama, khususnya pembangunan tenaga hijau, tenaga boleh diperbaharui, pasaran tenaga dan pelaburan dalam industri pendigitalan.
Menurut Anwar, JBIC menyatakan komitmen untuk memperluaskan pelaburan di Malaysia dengan menarik lebih ramai pelabur Jepun ke dalam sektor-sektor utama negara.
“JBIC juga sedang giat mengadakan perbincangan dengan syarikat tempatan daripada pelbagai industri,” katanya dalam kenyataan.
Beliau turut menekankan bahawa kerjasama strategik antara Malaysia dan Jepun penting dalam meneroka pelaburan berkualiti tinggi.
“Saya tekankan kepentingan memperkukuh persahabatan dan kerjasama erat antara Malaysia dan Jepun demi memastikan kerjasama pelaburan ini direalisasikan untuk kepentingan rakyat,” ujarnya.
Pertemuan tersebut diharap akan merancakkan lagi usaha pelaburan dalam sektor tenaga mampan dan pendigitalan, memperkuat hubungan ekonomi antara kedua-dua negara, serta mempromosikan pembangunan ekonomi yang inklusif dan mampan di Malaysia.
Turut hadir dalam pertemuan tersebut, Pengerusi Jawatankuasa Penasihat Dasar, Tan Sri Mohd Hassan Marican.