PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan melawat pelbagai lokasi di seluruh negara sepanjang Ramadan untuk bertemu dengan masyarakat dan mengeratkan hubungan antara kerajaan persekutuan dan negeri.
Setiausaha Akhbar Kanan kepada Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah berkata, selain itu Perdana Menteri juga akan menyantuni penjawat awam di pelbagai kementerian sebagai sebahagian daripada program ‘Ihya Ramadan’ yang bertujuan untuk meningkatkan nilai kerohanian dan mengeratkan hubungan antara rakyat dan kerajaan.
Katanya, dalam program tersebut, Anwar sendiri akan menyampaikan sesi tazkirah ringkas serta penceramah jemputan.

“Program itu bertujuan menjadikan Ramadan sebagai madrasah rohani, bukan sahaja dalam aspek ibadah, tetapi juga pembentukan nilai dan akhlak dalam pentadbiran negara.
“Melalui program ini, nilai-nilai seperti kejujuran, disiplin, dan tanggungjawab dapat diperkukuh dalam kalangan penjawat awam, selaras dengan teras Kesejahteraan dalam gagasan MADANI,” katanya menerusi satu video di Facebook rasmi Anwar Ibrahim pada Sabtu.
Selain lawatan kementerian, Anwar juga dilaporkan akan menjelajah ke beberapa negeri untuk mengadakan Majlis Berbuka Puasa MADANI bersama orang ramai.
Kata Tunku Nashrul, butiran lanjut mengenai tarikh dan lokasi spesifik bagi setiap majlis akan diumumkan dalam masa terdekat melalui saluran rasmi kerajaan.
“Pejabat Perdana Menteri menggalakkan semua rakyat untuk mengambil bahagian dalam majlis-majlis ini sebagai tanda kebersamaan dan perpaduan,” katanya.
Baca juga: