PM Ucap Tahniah Azizulhasni Rangkul Emas Keirin, Hoki Layak Ke Piala Dunia 2026

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merakamkan ucapan tahniah kepada jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang, selepas merangkul pingat emas acara keirin pada Siri Piala Dunia Berbasikal Trek di Perth, Australia.

Kejayaan atlet yang digelar ‘The Pocket Rocketman’ itu sekali lagi membuktikan keupayaan anak Malaysia bersaing di pentas dunia.

“Saya mendoakan semoga ‘The Pocket Rocketman’ terus cemerlang dan membawa lebih banyak kejayaan buat negara pada kejohanan akan datang,” katanya.

Dalam perkembangan berasingan, Perdana Menteri turut mengucapkan tahniah kepada skuad hoki lelaki negara selepas berjaya melayakkan diri ke Piala Dunia Hoki Lelaki FIH 2026 yang bakal berlangsung di Belanda dan Belgium.

Beliau menyifatkan pencapaian itu sebagai hasil kerja keras, disiplin tinggi serta semangat juang luar biasa yang dipamerkan para pemain bersama barisan kejurulatihan.

Namun, Anwar percaya pasukan yang dikenali sebagai ‘The Speedy Tigers’ masih mempunyai ruang untuk memperkemas corak permainan serta meningkatkan prestasi menjelang saingan di pentas Piala Dunia kelak.

“Seluruh rakyat Malaysia pastinya akan terus memberi sokongan dan dukungan kepada skuad negara,” katanya lagi.

Kejohanan Hoki Piala Dunia 2026 dijadual berlangsung di Belanda dan Belgium dari 15 hingga 30 Ogos ini, sekali gus membuka peluang besar buat Malaysia untuk menonjolkan kehebatan di pentas antarabangsa.

Anda Mungkin Berminat