PM ucap takziah buat keluarga pelajar UiTM Dungun


Oleh: Shafira Aziz

PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan ucapan takziah buat keluarga pelajar Universiti Teknologi MARA (UiTM) Dungun yang terlibat dalam kemalangan malam tadi.

Menerusi hantaran di laman X miliknya, Anwar turut menyatakan beliau terkesan dengan tragedi itu dan mendoakan agar kesemua keluarga mangsa tabah dalam menghadapi dugaan tersebut.

“Salam takziah buat seluruh ahli keluarga pelajar UiTM Dungun yang kembali ke rahmatullah malam tadi.

“Kes yang sangat menyayat hati dan saya sendiri terkesan akan kejadian ini. Semoga keluarga tabah hadapi dugaan ini dan mendapat keadilan yang sewajarnya,” katanya pada Khamis.

Terdahulu, tiga sekawan yang merupakan pelajar UiTM Kampus Dungun maut selepas dua motosikal yang dinaiki mereka dirempuh suspek yang memandu kenderaan utiliti sukan (SUV) di Jalan Pantai, berhadapan UiTM Dungun.

Manakala seorang lagi rakan mereka, Muhammad Amar Danish Mohammad Ridhuan, 20, mengalami cedera parah di pinggang dan sedang menerima rawatan di Hospital Dungun.

Suspek yang melanggar empat pelajar tersebut merupakan seorang wanita dalam lingkungan 40-an, dipercayai mengalami masalah mental turut direman selama empat hari.

Anda Mungkin Berminat