PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan penangguhan pelaksanaan sistem e-Invoice selama satu tahun tanpa penalti bagi syarikat dengan jualan tahunan antara RM1 juta hingga RM5 juta.
Pada masa sama, kerajaan turut menaikkan ambang pengecualian cukai perkhidmatan bagi perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) daripada RM500,000 kepada RM1.5 juta.
Pengumuman itu dibuat ketika beliau menyampaikan Amanat Tahun 2026 pada Perhimpunan Bulanan Bersama Warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) di Putrajaya sebagai langkah meredakan kebimbangan syarikat kecil terhadap kos tinggi penyediaan sistem digital.
Mengenai e-Invoice, Anwar berkata, pelaksanaannya akan bermula pada 1 Januari 2026 bagi syarikat terlibat dengan tempoh peralihan tanpa penalti dilanjutkan setahun lagi.
“Pelaksanaan e-invoice ini pun jadi isu besar. Kita nak digital tapi bila kita laksanakan ada syarikat itu belum bersedia kerana kos penyediaan itu agak tinggi.
“Jadi kita telah kecualikan bagi syarikat dengan jualan tahunan antara RM1 juta hingga 5 juta yang akan memulakan pelaksanaan e-invoice bermula 1 Januari 2026.
“Kerajaan bersetuju untuk melanjutkan tempoh peralihan tanpa penalti untuk satu tahun lagi untuk menangguhkan pelaksanaan e-invoice kerana banyak mengatakan ia menyebabkan kos yang terlalu tinggi,” katanya.
Selain itu, beliau turut mengumumkan program pengakuan sukarela bagi sistem kewangan selama enam bulan, bermula 1 Januari hingga 30 Jun 2026 serta memperluaskan budaya e-Invoice bersepadu kepada sektor peruncitan dan bahan binaan.
Dalam usaha meringankan beban PMKS, Anwar mengumumkan kenaikan ambang pengecualian cukai perkhidmatan daripada RM500,000 kepada RM1.5 juta nilai jualan tahunan.
“Kita dengan ini memutuskan supaya dinaikkan dikecualikan atas PMKS dengan nilai jualan tahunan dari RM500,000 ke satu juta dan sekarang yang pengecualiannya sampai 1.5 juta ringgit,” tambahnya.








