Oleh: Dr Radin Muhd Imadudin
ULASAN | Pernah dengar ke sekolah tahfiz minta diiktiraf macam UEC (sijil peperiksaan bersepadu)? Jawapannya, memang tidak.
Sekolah tahfiz secara umumnya tidak pernah membawa tuntutan politik supaya sijil mereka diiktiraf sebagai sijil tunggal untuk kemasukan ke IPTA (Institut Pengajian Tinggi Awam) seperti mana yang sering dikaitkan dalam perbahasan UEC.
Saya fikir, di sinilah ramai orang mula salah faham terhadap keseluruhan isu ini.
Sebab sebenarnya, perbincangan yang sedang berlaku, bukan pun tentang kerajaan mahu mengiktiraf mana-mana sijil secara mutlak. Itu bukan isu utamanya.
Kalau yang marah-marah tu, mungkin salah fahamnya di sini. Ya, memang betul pihak UEC pernah menuntut pengiktirafan sebagai sijil tunggal untuk kemasukan ke IPTA. Maksudnya, mereka mahu UEC diterima terus tanpa perlu menggunakan SPM atau STPM bagi kemasukan ke universiti awam.
Tetapi setakat hari ini, kerajaan TIDAK MENERIMA tuntutan itu sebagai dasar umum negara.
Jadi apabila sekolah tahfiz, (kita bicarakan sekali sekolah agama rakyat, pondok atau sekolah Arab) , ia BUKAN sebab kerajaan mahu mengiktiraf semua sijil tersebut.
Saya ulang. BUKAN sebab kerajaan mahu mengiktiraf semua sijil tersebut. ‘It’s not the case’. Tapi itulah yang kecoh sangat sehari dua ni.
Sebaliknya, kerajaan sedang melihat satu persoalan yang lebih besar dan utama.
APA JADI KEPADA ANAK-ANAK MALAYSIA YANG TIDAK MELALUI SISTEM PERSEKOLAHAN ARUS PERDANA KPM SETELAH TAMAT USIA PERSEKOLAHAN?

Kerana realitinya, Malaysia memang mempunyai pelbagai aliran pendidikan.
Ada pelajar masuk sekolah kebangsaan dan mengambil SPM. Ada juga yang memilih sekolah persendirian Cina yang mengambil UEC. Ada yang masuk sekolah tahfiz, pondok, sekolah agama rakyat, sekolah Arab atau sekolah antarabangsa yang menggunakan kurikulum sendiri.
Mereka ini tetap rakyat Malaysia. Anak-anak Malaysia, warganegara Malaysia. Cuma struktur pendidikan mereka tidak semuanya sama.
Dalam sistem UEC misalnya, peperiksaannya lebih tersusun dan seragam kerana diselaraskan oleh Dong Zong. Bila orang sebut UEC, orang tahu ia merujuk kepada satu bentuk peperiksaan dan sijil yang jelas sistemnya.
Tetapi dalam dunia tahfiz, keadaannya jauh lebih pelbagai.
Tidak ada satu badan tunggal yang menyelaraskan semua sekolah tahfiz di Malaysia. Ada tahfiz negeri, tahfiz swasta, tahfiz persendirian, pondok tradisional, pondok moden, maahad integrasi, sekolah agama rakyat dan pelbagai lagi model pendidikan yang berbeza-beza.
Sebab itu istilah “sijil tahfiz” sebenarnya bukan satu sijil tunggal seperti UEC. Ini perkara yang saya nak jelaskan.
Ada institusi yang memberi sijil hafazan. Ada yang mengeluarkan syahadah pengajian agama. Ada yang menggabungkan akademik dan dini. Ada yang menggunakan kurikulum negeri. Ada yang mengambil SPM sekali, ada yang langsung tiada kurikulum seragam, dan ada juga yang menggunakan kurikulum luar.
Tetapi, pokok pangkal perbahasan kita ialah, apabila sampai umur 17 tahun, sebahagian mereka tidak mengambil SPM kerana sejak awal memang tidak mengikuti Kurikulum Kebangsaan.
Jadi, selepas tamat belajar, ke mana mereka pergi?
Ada yang sambung belajar ke Timur Tengah. Ada yang masuk universiti luar negara menggunakan sijil masing-masing.
Tetapi realitinya, ramai juga yang akhirnya tidak dapat menyambung pengajian ke mana-mana kerana peluang mereka sangat terhad.
Dan ini bukan andaian semata-mata. JUMLAH NYA LEBIH 50,000 ORANG!
Tokoh pendidikan seperti Tan Sri Alimuddin Mohd Dom, Pengerusi Jawatankuasa Penyelarasan Pendidikan Islam Kebangsaan di bawah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI), sendiri pernah membangkitkan kebimbangan bahawa ramai pelajar lepasan maahad tahfiz dan institusi agama swasta tercicir daripada peluang memasuki universiti awam kerana tidak menduduki SPM.
Maknanya, isu akses pendidikan ini memang wujud dalam realiti negara kita.

Sebab itu timbul persoalan, bolehkah kerajaan MEMBUKA LALUAN tertentu supaya mereka juga MEMPUNYAI AKSES ke IPTA?
Perhatikan penggunaan kata ini. Di sini kita kena bezakan antara “LALUAN” dan “PENGIKTIRAFAN”. DUA PERKARA ITU TIDAK SAMA.
Analoginya mudah. Sebuah lebuh raya boleh dibuka untuk ramai orang lalu. Tetapi untuk memandu secara sah, tetap ADA SYARAT lesen, cukai jalan dan peraturan negara.
Maksudnya, kerajaan boleh membuka laluan tertentu tanpa semestinya mengiktiraf sepenuhnya sesuatu sistem itu setaraf dengan sistem pendidikan kebangsaan.
Atau analogi lebih mudah, kerajaan boleh membenarkan seseorang masuk melalui pintu tertentu, tetapi itu tidak bermaksud struktur bangunan atau peraturan asas bangunan terus berubah. Boleh faham?
Sebab itu penting untuk faham bahawa MEMBUKA AKSES PENDIDIKAN, TIDAK BERMAKSUD KERAJAAN MENYERAHKAN DASAR PENDIDIKAN NEGARA.
Saya perlu katakan yang Dasar Pendidikan negara masih utuh dan kukuh.
Ada pula yang membuat andaian bahawa ini semua adalah “langkah perlahan-lahan” untuk akhirnya mengiktiraf UEC secara penuh. Pulak dah…
Pandangan seperti ini sebenarnya lebih banyak bersandar kepada prasangka politik.
Saya perlu tegaskan begini.
Kerajaan TIDAK BOLEH MELAKSANAKAN SESUATU YANG BERCANGGAH dengan PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN, ATAU MANA-MANA AKTA PERUNDANGAN NEGARA
Dalam negara yang ada undang-undang, semua tindakan mesti bergerak dalam kerangka hukum yang sama. Dalam hal ini, tindakan KPT masih menjaga kemas, tiada pelanggaran yang dibuat.
Kalau sesuatu perkara bercanggah dengan asas negara, maka memang tidak boleh dilaksanakan. TIDAK TIMBUL SOAL BUKA LALUAN sekalipun JIKA MELANGGAR DASAR dan UNDANG-UNDANG sedia ada.
Sebab itu isu ini sepatutnya dilihat dengan lebih tenang.
Yang sedang dibincangkan bukan soal siapa menang atau siapa kalah. Bukan soal mengiktiraf mana-mana pihak. Tak betul pun untuk sebut diiktiraf separuh ke.. Apatah lagi iktiraf penuh.. Bukan.. Bukan..
Tetapi, ini adalah soal bagaimana negara boleh MENGURUS kepelbagaian aliran pendidikan rakyat Malaysia, sambil tetap mempertahankan asas dasar pendidikan negara yang telah dipersetujui bersama.
Kerana akhirnya, tanggungjawab kerajaan bukan sekadar menjaga dasar, tetapi memastikan SETIAP rakyat Malaysia mempunyai peluang membina masa depan mereka melalui PENDIDIKAN TINGGI dalam kerangka undang-undang negara.
***Penulis adalah penyelidik dasar pendidikan dan aktif berkongsi pandangannya dalam pelbagai platform ilmiah, seminar dan media








