MERU: Polis menahan lima lelaki yang dipercayai terbabit dalam insiden pergaduhan di Balai Polis Meru, Klang, pada Isnin lalu.
Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S Vijaya Rao berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 9.40 malam ketika tiga lelaki hadir ke balai berkenaan untuk membuat laporan polis.
“Dalam kejadian itu, seorang daripada kumpulan lima lelaki terbabit memukul pengadu menggunakan sebatang besi.
“Kekecohan turut menyebabkan sebuah televisyen di balai polis mengalami kerosakan sebelum semua suspek melarikan diri,” katanya dalam kenyataan media pada Khamis.
Menurut beliau, hasil tindakan segera pihak polis, lima lelaki berusia antara 28 hingga 41 tahun berjaya diberkas bagi membantu siasatan.
“Siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berpunca daripada perselisihan faham antara kedua-dua pihak,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 148, Seksyen 427 dan Seksyen 324 Kanun Keseksaan, Seksyen 90 Akta Polis 1967 serta Seksyen 6 Akta Bahan Kakisan dan Letupan serta Senjata Berbahaya 1958.
Semua suspek direman tiga hari sehingga 5 Mac bagi membantu siasatan lanjut.
Pada masa sama, polis giat mengesan beberapa lagi individu yang sudah dikenal pasti untuk membantu siasatan.
Vijaya berkata, pihaknya memandang serius kejadian berkenaan kerana ia membabitkan gangguan ketenteraman di balai polis, lokasi yang sepatutnya menjadi tempat perlindungan dan keselamatan masyarakat.








