Polis buka kertas siasatan berkaitan kes samun bersenjata di Tawau

Polis dari Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau membuka satu kertas siasatan berhubung penyebaran maklumat palsu berkaitan video tular memaparkan kes samun bersenjata.

Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin berkata, video yang dimuatnaik oleh individu tersebut berdurasi 2 minit 58 saat itu memaparkan dua individu bersenjatakan parang didakwa telah berlaku di Daerah Tawau baru-baru ini.

“Dalam satu ‘posting page’, kita dapat kesan dan telah mengambil keterangan, individu tersebut juga telah mendapat video tersebut dari orang lain.

Katanya, individu tersebut beranggapan untuk memberikan peringatan kepada orang lain supaya lebih berhati-hati walaupun berita itu tidak benar.

“Jadi itulah sebabnya, kita tidak boleh dengan sengaja mengirim semula dengan niat memberikan peringatan kepada orang lain untuk berhati-hati kerana berita yang disebarkan itu adalah tidak benar,” katanya dalam sidang media di IPD Tawau pada Rabu.

Menurutnya, pihak polis telah memanggil 10 individu bagi membantu siasatan berhubung dengan penyebaran maklumat palsu berkaitan video tersebut.

“Sebelum ini, pihak polis telah mengesan sebuah video yang tersebar dari rakaman kamera litar tertutup itu telah dimuat naik di laman sosial Facebook bersama kenyataan ‘Taman Berjaya Tawau, 10 kes seperti ini dalam satu bulan, berhati-hati kita semua’.

“Sebaliknya kejadian itu bukan berlaku di Daerah Tawau tetapi ianya berlaku di Ayer Tawar, Perak pada 20 Mei lalu,” katanya.

Jelasnya, penyebaran kenyataan palsu bersama video yang juga mendatangkan khianat awam, panik atau kegusaran kepada orang awam khususnya di Daerah Tawau dan siasatan telah dijalankan di bawah Seksyen 505 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998.

Justeru, orang ramai dinasihatkan agar tidak muat naik di laman media sosial sebarang kenyataan tanpa kesahihan berita tersebut.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat