JOHOR BAHRU: Polis sedang mengesan individu yang dipercayai menjual bunga api berkaitan insiden letupan di Taman Damai Jaya, Bukit Siput, Segamat pada Selasa lalu, yang mengakibatkan seorang lelaki mengalami kecederaan parah.
Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, keterangan daripada individu terbabit diperlukan bagi melengkapkan siasatan di bawah Seksyen 6 dan 8 Akta Bahan Letupan 1957.
Menurut beliau, siasatan awal mendapati bunga api berkenaan dipercayai diperoleh secara tidak sah dan tidak termasuk dalam senarai bahan letupan yang dibenarkan.
“Polis kini menjalankan siasatan lanjut termasuk mengenal pasti sumber pembelian mangsa serta menjejaki pihak yang menjual bahan berkenaan,” katanya seperti dipetik berita tempatan pada Jumaat.
Ab Rahaman menjelaskan, ketika ini hanya 45 jenis mercun dan bunga api dibenarkan untuk dimiliki dan dijual, tertakluk kepada syarat serta lesen sah.
Tegasnya, individu yang memiliki atau menggunakan bahan letupan tidak tersenarai boleh dikenakan tindakan tegas termasuk pendakwaan di mahkamah.
“Sekiranya didapati peniaga berlesen menjual bahan letupan yang tidak dibenarkan, lesen mereka akan dibatalkan serta-merta,” katanya.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan Polis Johor akan mempergiat operasi pemantauan dan pemeriksaan ke atas premis penyimpanan serta penjualan bunga api bagi memastikan pematuhan undang-undang.
Dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah malam, 17 Februari lalu, seorang lelaki berusia 32 tahun putus kaki kiri selepas terkena letupan bunga api yang dipasangnya ketika menyambut Tahun Baharu Cina di Taman Damai Jaya, Bukit Siput, Segamat.
Baca juga:








