Polis Johor rampas minyak sawit mentah bernilai RM2.49 juta

KULAI: Satu sindiket pengumpulan dan memproses minyak sawit mentah berjaya dilumpuhkan Pasukan Polis Marin Wilayah Dua di sebuah premis di Air Bemban, semalam.

Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar berkata, serbuan menerusi Op Taring Landai Khas Tahun Baru Cina itu dilaksana pihaknya bersama-sama penguatkuasa Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) Wilayah Selatan pada jam 10 pagi.

“Serbuan itu membawa kepada penahanan seorang lelaki tempatan berusia 46 tahun yang dipercayai pengusaha premis.

“Dalam operasi tersebut juga kita telah merampas 171 IBC tank berisi minyak sawit anggaran isipadu 170,400 liter, 52 IBC tank, empat skid tank, sebuah treler, dua buah gallon tank, dua forklif dan tiga unit hose.

“Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM2.49 juta” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Tambahnya, tangkapan dan rampasan diserahkan kepada penguatkuasa MPOB untuk tindakan selanjutnya.

Katanya lagi, siasatan dijalankan mengikut Peraturan 5, Peraturan-peraturan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (Perlesenan) 2005 bagi kesalahan beroperasi tanpa lesen dan Undang-undang Kecil Perlesenan Tred Perniagaan dan Perindustrian Majlis Perbandaran Kulai (MPKu) 201).

Anda Mungkin Berminat