KOTA BHARU: Polis Kelantan mengesahkan kejayaan menyelesaikan kes pembunuhan melibatkan seorang remaja orang kurang upaya (OKU) berusia 19 tahun yang ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri di tepi jalan di Kampung Chap Bekelam, Bachok, pada 14 April lalu.
Ketua Polis Kelantan, CP Datuk Mohd Yusoff Mamat, dalam satu kenyataan berkata, mangsa yang merupakan seorang lelaki Melayu telah dibawa ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kota Bharu, namun disahkan meninggal dunia pada pukul 12.55 tengah malam, 15 April 2026.
“Hasil bedah siasat mendapati punca kematian adalah disebabkan oleh ‘kecederaan di kepala akibat trauma tumpul’,” katanya.
Berikutan itu, beliau berkata, satu pasukan khas daripada Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan bersama Ibu Pejabat Polis Daerah Bachok telah melancarkan beberapa siri serbuan di sekitar negeri Kelantan dan Selangor.
Dalam operasi tersebut, polis menahan enam lelaki Melayu berumur antara 25 hingga 52 tahun serta seorang wanita berusia 28 tahun bagi membantu siasatan.
Turut dirampas beberapa barang kes termasuk sebuah kereta, tiga motosikal, enam telefon bimbit, empat pasang pakaian, dua batang kayu, komponen motosikal, gayung, tong cat, dan cebisan kain yang dipercayai berkaitan dengan kejadian.
Kesemua suspek telah direman di Mahkamah Majistret Bachok dari 10 hingga 22 Mei bagi membantu siasatan.
Semakan mendapati empat daripada mereka mempunyai rekod jenayah lampau, manakala ujian saringan air kencing menunjukkan keputusan negatif bagi kesemua tangkapan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan (Bunuh) yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara tidak kurang daripada 30 tahun dan tidak melebihi 40 tahun serta tidak kurang daripada 12 sebatan.
“Siasatan lanjut masih diteruskan bagi melengkapkan siasatan,” katanya.








