Polis kesan mahar GISBH dipercayai RM2.3 juta sebulan

Oleh: Haikal Tajuddin

PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) hari ini meneruskan siasatan terhadap syarikat Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH) yang dilakukan menerusi Op Global bermula sejak 2 September lalu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, pihaknya kini giat mengumpul bukti dan segala keterangan bagi membantu siasatan kes terbabit.

“Siasatan masih lagi berjalan. Kita (polis) kumpulkan segala keterangan yang menjurus kepada kesalahan dalam sesuatu undang-undang.

“Hasil siasatan itu akan dirujuk kepada Pejabat Peguam Negara (AGC) untuk tindakan lanjut. Kita hanya menyiasat dan kuasa pertuduhan ditentukan AGC,” katanya memetik Harian Metro.

Terdahulu, dipercayai syarikat GISBH menerima sumbangan lebih RM2.3 juta setiap bulan menerusi kutipan Mahar di 58 zon, seluruh dunia.

Menerusi perkongsian Pusat Kajian Ajaran Sesat (PUKAS) Malaysia, bekas-bekas ahli GISBH sudah pun menetapkan RM40,000 sebulan bagi setiap satu zon dengan menggunakan kaedah pihak ketiga.

“Cara mereka pusingkan duit di dalam GISBH adalah dengan menggunakan proksi iaitu ahli mereka yang taat setia dan naif untuk memindahkan duit dari satu akaun ke satu akaun lain.

“Pada akhirnya, duit itu akan dikumpulkan di tangan beberapa individu sahaja di dalam GISBH,” katanya dalam perkongsian di Facebook pada Selasa.

Namun begitu, PUKAS menjelaskan, sebanyak 94 akaun daripada GISBH telah dibekukan oleh Bank Negara malah nilai duit yang ditemui itu hanya sebanyak RM581,000 sahaja.

Dikatakan, sebahagian besar wang tunai itu sudah dibawa keluar dari negara yang terlibat untuk membeli aset di luar negara.

“Mereka sudah merancang perkara ini terlebih dahulu jika berlaku sesuatu ke atas GISBH, mereka boleh melarikan dan duduk di luar negara.

“Terdapat juga beberapa cara mereka mengeluarkan tunai secara haram ke luar negara antaranya melalui aktiviti ‘dummy’ seperti syarikat-syarikat pelancongan yang membawa duit ke luar negara,” jelasnya.

Selain itu, sumber memaklumkan projek Maritim GISBH turut menggunakan bot nelayan besar untuk menyeludup wang tunai kepada sindiket GISBH yang turut berada di laluan tengah laut terutama di perairan Malaysia-Thailand dan Malaysia-Indonesia.

Tambahan lagi, wang itu turut dibahagikan di beberapa tempat seperti akaun peribadi, wang tunai, emas dan disalurkan kepada pemimpin tertinggi yang mengutip dana GISBH iaitu Shuhaimee dan Haminah.

“Kutipan jutaan ringgit ini tidak akan melalui akaun-akaun syarikat GISBH kecuali hanya sedikit sahaja untuk pengaliran tunai perniagaan anak-anak syarikat di bawah GISBH,” ujarnya.

Anda Mungkin Berminat