Polis sahkan dua akaun Facebook NSRC adalah palsu, ada pihak menyamar

OIeh: Tyah Helmi

PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menegaskan bahawa kedua-dua akaun Facebook yang menyamar sebagai National Scam Response Center (NSRC) adalah palsu dan sehingga kini agensi itu tidak mempunyai sebarang akaun media sosial.

Perkara itu dimaklumkan oleh Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Polis Diraja Malaysia (PDRM) Datuk Rusdi Mohd Isa dalam satu kenyataan media pada Rabu dan berkata, kewujudan NSRC telah dimanipulasi oleh pihak yang tidak bertanggungjawab yang mengambil kesempatan untuk melakukan penipuan.

“Sindiket penipuan ini menggunakan nama dan imej NSRC untuk menyamar sebagai pihak berkuasa dengan tujuan memperdaya mangsa, termasuk memancing maklumat peribadi dan memperoleh wang secara tidak sah,” katanya.

Menurut beliau, NSRC merupakan sebuah pusat panggilan yang berperanan sebagai pusat operasi untuk menyelaraskan tindak balas pantas yang merangkumi pengesanan dana yang dicuri secara lebih cepat dan pengambilan tindakan penguatkuasaan terhadap penjenayah.

“NSRC merupakan pusat panggilan yang beroperasi secara komunikasi sehala, iaitu hanya menerima panggilan daripada orang awam.

“NSRC tidak akan menghubungi individu menerusi telefon, mahupun menggunakan aplikasi pesanan seperti Whatsapp.

“Oleh itu, sebarang panggilan atau mesej yang mengaku mewakili NSRC adalah penipuan semata-mata,” ujarnya.

Katanya, bagi mengoptimumkan usaha pembanterasan serta pencegahan jenayah penipuan atas talian, PDRM menggesa mangsa-mangsa yang terlibat untuk segera menghubungi NSRC di talian 997.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat