PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang menyiasat penyebaran dokumen yang didakwa sebagai minit mesyuarat Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) selepas laporan rasmi diterima berhubung insiden itu.
Menurut Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail, siasatan dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman.
“Kes ini diklasifikasikan di bawah Seksyen 8 Akta Rahsia Rasmi 1972, Seksyen 203A Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya dalam satu kenyataan media.
Menurutnya, PDRM menumpukan siasatan terhadap bagaimana dokumen berklasifikasi itu boleh tersebar iaitu sama ada melalui saluran dalaman atau media sosial.
Beliau berkata, semua individu yang dipercayai mempunyai akses kepada dokumen terbabit dan berpotensi membantu siasatan akan dipanggil.
“PDRM menasihatkan orang awam supaya tidak mendedahkan atau menyebarkan sebarang maklumat yang diklasifikasikan sebagai dokumen terperingkat,” tambahnya.
Ketua Polis Negara turut memberi amaran bahawa tindakan undang-undang akan dikenakan ke atas mana-mana pihak yang terlibat dalam penyebaran maklumat tersebut.
Terdahulu, satu dokumen yang didakwa sebagai petikan minit mesyuarat JAC bertarikh Mei telah tular di media sosial, sekali gus mencetuskan persoalan umum tentang ketelusan dan kebebasan institusi kehakiman.








