KOTA KINABALU: Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah, Ahmad Farid Sainuri membidas tindakan pihak tertentu dalam Parti Bersama Malaysia (PBM) Sabah yang didakwa terus menyerang Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meskipun pernah mendapat manfaat politik daripada kepimpinan beliau.
Menerusi satu warkah terbuka yang dimuat naik di media sosial, Farid menyifatkan Malaysia sebagai negara demokrasi yang kini dipimpin seorang tokoh yang pernah melalui pelbagai cabaran politik sebelum akhirnya dilantik sebagai Perdana Menteri.
Menurutnya, Anwar pernah dihina dan diaibkan menggunakan seluruh kekuatan aparatus kerajaan suatu ketika dahulu, namun tetap berpegang kepada prinsip perjuangan “lawan tetap lawan”.
“Beliau pernah berada di puncak kuasa dan pernah juga dihina sejijik anjing kurap di jalanan. Namun beliau tidak pernah mengalah,” katanya.
Farid turut menegaskan bahawa perjuangan Anwar masih sama, namun pelaksanaannya kini perlu mengambil kira realiti kerajaan perpaduan yang terdiri daripada pelbagai parti dengan ideologi berbeza.
“Tiada siapa peduli kamu kalau bukan kerana kamu semua bernaung di bawah parti pimpinan. Kamu semua cuma menumpang berdiri sama megah di bahunya,” katanya.
Beliau turut menyelar tindakan pihak tertentu yang didakwa “membaling batu sembunyi tangan” selain mendakwa terdapat cubaan mengambil alih halaman Facebook tertentu.
“Pompang sembang prinsip, FB Page pun dicurinya.
“Tiada siapa halang kamu keluar parti. Kalau mahu pilih haluan lain, silakan,” katanya.
Baca juga:








