Poster FFM34 dikritik, netizen banding dengan Oscars dan GV

KEHANGATAN Festival Filem Malaysia (FFM) 34 yang akan berlangsung pada 1 November kurang diperkatakan namun poster yang ‘terlalu hambar’ menjadi bualan warga maya, kononnya tidak mencerminkan taraf anugerah filem nasional.

Di Thread, ramai netizen menyifatkan rekaan promosi acara berprestij itu buruk.

Seorang pengguna aplikasi itu dengan akaun @sepitsiput, menarik perhatian ramai selepas memuat naik ciapan yang membandingkan poster FFM dengan poster promosi Oscars dan Video Music Awards (VMA).

“Bandingkan poster promosi FFM dengan Oscars dan VMA. Ada yang dari 20 tahun dulu pun masih nampak gah. Tak payah jauh, tengok je poster Festival Filem Indonesia. Rasa tak keaibannya?” tulis pengguna itu.

Dalam ciapan sama, pengguna itu turut menyindir gaya rekaan poster FFM yang dianggap tidak kreatif dan kurang profesional.

“Acik prompt ChatGPT pun berjenis sikit daripada poster hauk itu. Buat poster pun hauk, pastu meroyan orang tak support acara filem nasional? Bangang ke apa?” tulisnya lagi.

Ciapan itu menerima ribuan tanda suka dan ulang ciap, dengan ramai pengguna lain bersetuju bahawa poster FFM wajar direka dengan lebih baik bagi mencerminkan kematangan industri filem tempatan.

Ada yang berpendapat, memandangkan FFM ialah acara tahunan meraikan penggiat seni tanah air, rekaan promosi seharusnya diberi perhatian setara dengan acara hiburan besar lain.

“Buat design gaya promo Gegar Vaganza pun dah cukup. Jangan kedekut bajet nak bayar grafik artis, ini event menaikkan martabat artis,” tulis seorang lagi pengguna.

Ada juga yang menyindir bahawa penganjur tidak wajar menyalahkan penonton jika sambutan terhadap acara seperti FFM suam-suam kuku, kerana aspek promosi pun gagal menarik perhatian.

“Ada filem dah kutip berjuta-juta, takkan ini je promonya?” tambahnya.

Setakat ini, pihak penganjur FFM belum mengeluarkan sebarang kenyataan balas berhubung kritikan yang tular di media sosial itu.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat