Potret Rasmi Agong, Raja Permaisuri Diedar Esok

Oleh: Hanim Nadia

PETALING JAYA: Potret rasmi Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah akan mula diedarkan pada 8 Ogos.

Menteri Komunikasi, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil berkata, Jabatan Penerangan (JaPen) akan menerima potret rasmi itu, manakala kementerian-kementerian dan jabatan lain boleh mendapatkannya di Kementerian Komunikasi pada tarikh sama.

“Bagi orang ramai yang ingin mendapatkan potret rasmi secara percuma, boleh berhubung dengan Jabatan Penerangan Negeri dan Pegawai Penerangan Daerah masing-masing,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Pada 10 Julai lalu, Istana Negara mempersembahkan potret Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong sempena Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-17 pada 20 Julai.

Gambar-gambar berkenaan turut dikongsikan Facebook rasmi Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

Sultan Ibrahim telah melafaz dan menandatangani Surat Sumpah Jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 pada 31 Januari lalu.

Istiadat Pertabalan pula berlangsung pada 20 Julai di Istana Negara dan kerajaan dengan titah perkenan Yang di-Pertuan Agong, melaksanakan tujuh acara sempena istiadat penuh simbolik lima tahun sekali itu.

Anda Mungkin Berminat