PETALING JAYA: Persatuan Perkhidmatan Tadbir dan Diplomatik Malaysia (PPTD) meminta Yang di-Pertua Majlis Guru Kaunseling, Ismail Ibrahim memperjelaskan dakwaannya berkenaan Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) yang mahu memainkan peranan sebagai kaunselor dan guru besar di sekolah.
Dalam satu kenyataan hari ini, PPTD mahu kekeliruan yang timbul baru-baru ini dijelaskan Ismail dengan bukti sahih jika ada.
“Sekiranya kenyataan tersebut tidak dapat disokong dengan bukti yang sahih, maka wajar untuk mempertimbangkan penarikan balik kenyataan tersebut dan membuat penjelasan secara terbuka bagi mengelakkan kekeliruan dan salah faham dalam kalangan masyarakat,” katanya pada Rabu.
Dalam pada itu, PPTD menekankan bahawa PTD yang berkhidmat di Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sentiasa menjalankan tugas dengan profesionalisme tinggi, terutamanya dalam aspek pentadbiran, pengurusan kewangan, pembangunan sumber manusia dan perolehan.
“Komitmen kepada profesionalisme dan kerjasama antara skim perkhidmatan awam adalah asas kelancaran pentadbiran negara,” tegas kenyataan tersebut pada Rabu.
Terdahulu, kenyataan Ismail mengenai peranan PTD di sekolah telah menimbulkan kekeliruan mengenai penjawat jawatan tersebut.
Ismail dirakam ketika menjadi pengendali dalam segmen kumpulan perbincangan berfokus, dengan tajuk Fokus Resolusi: Bagaimana Memperteguh Minda Sihat Murid Memperkukuh Persekitaran Sekolah Harmonis dalam Cabaran Global pada 26 September baru-baru ini.
Segmen tersebut diadakan bersempena Majlis Perasmian Penutup Konvensyen Minda Sihat Sekolah Peringkat Kebangsaan Kali Ke-3 Tahun 2024 yang diadakan di Dewan Jubli Perak, Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam, Selangor.