Oleh: Tyah Helmi
PETALING JAYA: Proses penukaran status pegangan hak milik tanah di Taman Segar, Cheras daripada pegangan bertempoh (leasehold) kepada pegangan selama-lamanya (freehold) berdasarkan keputusan mahkamah serta peruntukan undang-undang sedia ada.
Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (PPTGWPKL) menegaskan Mahkamah Tinggi Malaya di Kuala Lumpur pada 19 Disember 2025 memutuskan syarat pajakan yang dikenakan ketika proses pembangunan asal pada tahun 1978 adalah ‘ultra vires’ atau melampaui kuasa serta tidak sah di sisi undang-undang.
Agensi itu menjelaskan bahawa keputusan berkenaan turut merujuk kepada kes terdahulu melibatkan Pengarah Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan menentang Sri Lempah Enterprise pada tahun 1978 yang diputuskan oleh Sultan Perak ketika itu, Raja Azlan Shah.
Katanya, mahkamah dalam penghakiman tersebut menegaskan pihak berkuasa negeri tidak boleh mengenakan syarat yang melampaui bidang kuasa sehingga menjejaskan hak pegangan bebas pemilik tanah tanpa asas undang-undang yang sah.
Tambahnya lagi, proses penukaran status tanah itu dimulakan sendiri oleh pemilik tanah menerusi saman pemula yang difailkan di mahkamah.
“Sehingga 12 Mei lalu, sebanyak 226 hak milik di Taman Segar telah mengemukakan saman bagi tujuan sama dan setiap pemilik perlu membuktikan rekod sejarah bahawa tanah berkenaan asalnya berstatus freehold,” menurut kenyataan itu.
PPTGWPKL menjelaskan keseluruhan proses melibatkan prosedur perundangan dan teknikal yang tertakluk kepada keputusan badan kehakiman serta pelaksanaan oleh pihak berkuasa tanah berdasarkan Kanun Tanah Negara.
Agensi itu turut menasihatkan orang ramai agar tidak terpengaruh dengan naratif yang boleh mengelirukan mengenai fungsi badan kehakiman dan agensi pentadbiran tanah.
Sebelum ini media melaporkan bahawa, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh menepis sekeras-kerasnya dakwaan mengenai pengumuman pertukaran status kediaman di Taman Segar, Cheras daripada pajakan kepada pegangan bebas.
Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Penyelidik Akademi Tamadun Alam Melayu, Zaharah Sulaiman yang mempersoalkan bagaimana Hannah didakwa berjaya menukar status rumah di Taman Segar, Cheras daripada pegangan pajakan kepada pegangan bebas dalam tempoh singkat.
Baca juga:








