JAKARTA:Presiden Indonesia, Prabowo Subianto hari ini mengumpulkan ketua umum parti politik di Istana Negara, di tengah sorotan tajam masyarakat terhadap tunjangan anggota DPR yang dianggap membebankan rakyat.
Ketua Umum PKB, Muhaimin Iskandar (Cak Imin) antara yang hadir dan menegaskan bahawa isu tunjangan harus dijadikan momentum untuk reformasi.
“Tentu saja ini menjadi momentum untuk kita semua melakukan evaluasi. Semua lembaga, baik legislatif mahupun eksekutif, mesti benar-benar memahami tuntutan aspirasi rakyat untuk menunjukkan solidaritas,” katanya.
Cak Imin turut menekankan bahawa tunjangan rumah bagi anggota DPR wajar dihentikan kerana menimbulkan kecemburuan sosial.
Sementara itu, Ketua Fraksi Demokrat, Edhie Baskoro Yudhoyono (Ibas), yang hadir mewakili Ketua Umum AHY, turut menyuarakan pendirian sama.
“Kami setuju tunjangan DPR dievaluasi. Segala sesuatu berkaitan keuangan negara harus benar-benar digunakan untuk kepentingan rakyat,” ujarnya.
Selain mereka, Ketua MPR Ahmad Muzani juga dilihat tiba di Istana, meskipun belum mengulas lanjut mengenai agenda pertemuan.
Pertemuan pimpinan parti bersama Presiden Prabowo ini dilihat sebagai isyarat awal bahawa pemerintah mula mengambil serius desakan rakyat agar keistimewaan politikus dikaji semula demi keadilan sosial.
Sebelum itu, beberapa kediaman anggota Dewan Perwakilan Rakyat (DPR RI) turut diserbu penunjuk perasaan termasuk Ahmad Sahroni, Uya Kuya dan Eko Patrio.
Ia rentetan daripada protes nasional yang tercetus sejak awal minggu ini, apabila ribuan rakyat Indonesia turun ke jalan membantah kenaikan elaun anggota DPR serta beban kos sara hidup yang semakin menghimpit.
Terdahulu, kebakaran dan kerosakan harta benda berlaku ketika ketegangan memuncak berhubung kematian Affan Kurniawan, penunggang gojek dalam talian yang dilanggar kenderaan Brimob semasa demonstrasi di Jakarta awal minggu ini.
Tragedi itu mencetuskan gelombang kemarahan, dengan ribuan rakyat turun ke jalan menuntut keadilan serta menekan kerajaan melaksanakan reformasi terhadap institusi keselamatan.
Baca juga:








