PRK Ayer Kuning: BN lancar manifesto hasil cetusan masyarakat setempat

TAPAH: Barisan Nasional (BN) telah melancarkan manifesto bertemakan ‘Ayer Kuning Sejahtera Bersama’ bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning.

Calon BN, Dr Mohamad Yusri Bakir berkata, manifesto itu dirangka berdasarkan aspirasi masyarakat setempat, dengan tiga tekad utama dan tujuh tawaran yang komprehensif.

Menurutnya, tiga tekad yang menjadi asas kepada manifesto adalah untuk menjamin perpaduan dan keharmonian masyarakat, menolak sentimen perkauman dan politik kebencian serta menghubungkan inisiatif sosioekonomi selaras aspirasi Pelan Perak Sejahtera 2030.

Manakala tujuh tawaran dalam manifesto, katanya, melibatkan ekonomi tempatan yang makmur, meningkatkan keupayaan sara hidup rakyat, pembangunan infrastruktur setempat serta agenda anak muda dan Program Pendidikan Dan Latihan Teknikal & Vokasional (TVET).

Selain itu, tambahnya, penumpuan terhadap warga emas, wanita dan Orang Asli, pendidikan berkualiti dan perkhidmatan ADUN berjiwa rakyat.

“Kita melihat bahawa keperluan kepada setiap masyarakat hampir sama, kita mempunyai masyarakat yang berbilang kaum”

“Mungkin ada perkara-perkara tertentu yang perlu diambil kira, tetapi pada umumnya sama sahaja seperti keperluan infrastruktur dan pendidikan,”katanya pada sidang media Majlis Pengumuman Manifesto BN di Command Centre PRK Ayer Kuning.

Turut bersama adalah Presiden MCA, Datuk Seri Dr Ir Wee Ka Siong dan Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M Saravanan.

Tambah Dr Mohamad Yusri, sesi penerangan lebih mendalam mengenai manisfesto tersebut akan dilakukan dalam kempen yang berbaki enam hari.

Anda Mungkin Berminat