KOTA KINABALU: Calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Tanjung Aru, Datuk Chan Foong Hin, tampil dengan komitmen besar kepada komuniti Pulau Gaya apabila berjanji menyediakan perkhidmatan bot percuma untuk pelajar, di samping mempertahankan pembinaan kompleks sekolah baharu bernilai RM260 juta di pulau berkenaan.
Chan berkata, langkah itu penting bagi memastikan akses pendidikan yang lebih selamat dan kondusif kepada masyarakat Pulau Gaya yang disifatkannya sebagai ‘lama terpinggir’.
Menurut beliau, penyediaan bot percuma untuk pelajar SK Pulau Gaya dan SMK Pulau Gaya sepanjang tahun persekolahan bukan sahaja dapat mengurangkan beban kewangan keluarga tetapi juga menangani isu keselamatan ketika perjalanan harian ke sekolah.
“Inisiatif ini bertujuan memastikan pelajar dapat bergerak dengan selamat, lancar dan tanpa kos tambahan,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurutnya, projek kompleks pendidikan baharu yang diluluskan Kerajaan Persekutuan dengan peruntukan RM260 juta itu akan menggantikan sekolah atas air sedia ada yang sering rosak akibat ribut dan hakisan pantai.
Beliau berkata, kompleks bersepadu tersebut bakal merangkumi pembinaan semula SK Pulau Gaya dan SMK Pulau Gaya, masing-masing dilengkapi 36 bilik darjah, dewan utama serta kemudahan sukan moden.
Chan turut menyuarakan rasa kecewa terhadap kritikan bahawa kos projek berkenaan terlalu tinggi.
Beliau berkata, pelaburan besar itu wajar demi menjamin hak pendidikan anak-anak pulau.
“Ada yang kata RM260 juta terlalu tinggi untuk 2,000 pelajar tetapi sebagai kerajaan, kita tidak boleh menafikan hak seorang pelajar untuk mendapatkan pendidikan.
“Itu tidak boleh dinilai dengan harga,” katanya.
Untuk info, Chan Foong Hin merupakan Ahli Parlimen Kota Kinabalu dan kini bertanding di kerusi DUN Tanjung Aru pada Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17.
Beliau membawa pengalaman sebagai Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi Persekutuan dengan tekad menggunakan kepakaran pentadbiran kerajaan untuk merapatkan jurang pembangunan di kawasan Tanjung Aru.
Pilihan Raya Negeri Sabah akan berlangsung pada 29 November 2025, dengan Tanjung Aru menjadi salah satu kerusi tumpuan kerana kedudukannya yang strategik di bandar raya Kota Kinabalu.








