KOTA KINABALU: Kajian akhir Ilham Centre mengenai sikap serta pola pengundian rakyat Sabah mendapati Gabungan Rakyat Sabah (GRS) terus menikmati sokongan kukuh, sekali gus berada pada kedudukan selesa untuk mengetuai rundingan pembentukan kerajaan negeri.
Hasil kajian itu menunjukkan GRS dijangka muncul sebagai parti dominan dalam perundingan bersama parti-parti tempatan dan calon bebas bagi membentuk kerajaan baharu.
“Keuntungan sebagai penyandang dilihat menjadi faktor utama yang mengukuhkan kedudukan GRS berbanding parti lain.
“Selain penerimaan positif terhadap imej sederhana Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, yang mendapat kepercayaan pengundi merentas latar kepimpinan parti.
“Sokongan berterusan di kawasan pantai barat yang sekian lama menjadi kubu kuat GRS turut memperkukuh kelebihan gabungan itu,” menurut kenyataan itu.
Ilham Centre juga mengesahkan bahawa kempen berteraskan naratif kestabilan dan pendekatan politik yang tenang berjaya menarik perhatian pengundi di seluruh negeri.
Berdasarkan keseluruhan dapatan, GRS dijangka memenangi sekitar 26 daripada 55 kerusi yang ditandingi, sekali gus membuka ruang untuk rundingan dengan parti lain atau calon bebas bagi membentuk majoriti yang lebih kukuh.








