Oleh: Tyah Helmi
TAWAU: Parti Pakatan Harapan (PH) mengumumkan manifesto buat rakyat di Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Merotai yang menjadi medan pertempuran buat Datuk Ruji Ubi pada 29 November kelak.
Ruji Ubi menerusi kenyataan di laman rasmi Facebooknya, memaklumkan bahawa terdapat lima tema dalam manifesto “Demi Merotai Sejahtera iaitu, pendidikan, ekonomi, kesihatan, sosial serta infrastruktur.
“Dalam jangka masa pendek, saya ingin menjadikan Merotai sebagai pusat peradaban dan pengembangan ilmu.
“Perkara ini hasil perbincangan bersama tokoh agama, di samping itu wujud keperluan untuk sekolah menengah ditambah di Merotai, ada anak-anak terpaksa bersekolah jauh ke bandar Tawau dan ke Felda Umas.
“Kedua, dari aspek ekonomi, untuk mewujudkan peluang pekerjaan serta perniagaan khusus kepada belia kampung, kita boleh libatkan misalnya Jabatan Tenaga Kerja untuk mengadakan karnival kerjaya di sini,” katanya.
Manakala dari aspek kesihatan, Ruji berjanji akan menubuhkan sebuah pusat rawatan hemodialisis di Merotai kerana terdapat keperluan yang tinggi buat rakyat Dun Merotai.
“Pesakit dari Kijang, Brumas, Umas semuanya terpaksa pergi ke bandar Tawau… bayangkan pesakit ini terpaksa keluar seawal 4 ke 5 pagi untuk mendapatkan rawatan hemodialisis di
Tawau, selepas itu, pada hari ketiga terpaksa buat lagi rawatan,” ujarnya.
Dalam pada itu katanya, jika mandat wakil rakyat diberikan kepadanya, beliau akan menjadikan Bilik Gerakan Utama PH di Tanah Merah sebagai Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merotai.
“Saya juga menawarkan perkhidmatan pusat khidmat mobilisasi wakil rakyat di kawasan utama misalnya Kampung Haji Matahir termasuk Kampung Kijang secara berjadual agar penduduk tidak perlu ke pusat utama.
“Dari segi sosial, saya tawarkan pewujudan pusat rekreasi serta pembinaan kompleks sukan di Merotai, kerana di Merotai ini, kita hanya punya padang estet, ini perlukan iltizam dan perlukan ADUN yang mempunyai hubungan baik dengan kerajaan Persekutuan,” jelasnya.
Ujar beliau, tema kelima berkaitan infrastruktur akan melibatkan pemasangan lampu solar, pembinaan jeti, menaik taraf jalan, sistem perparitan serta menangani isu bekalan air bersih.
Justeru katanya, Merotai mampu membina ekonomi jika transformasi Pekan Merotai berjaya dilaksanakan susulan Dun itu berada di lokasi yang strategik seperti kawasan Benoni, Papar.
“Kita tidak mahu kerajaan yang dibentuk untuk lima tahun akan datang ini mengulangi ataupun masih mewarisi perkara yang sama, kita sama-sama jadi saksi, kita mahu perubahan itu dilakukan secara drastik dan radikal ” katanva
Baca juga:








