PETALING JAYA: Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu mengadakan lawatan kerja ke Projek Jagung Bijian di FGV Chuping Agro Valley (FCAV) sebagai sebahagian usaha memodenkan sektor pertanian negara.
Beliau berkata, inisiatif itu memberi tumpuan khusus kepada tanaman jagung bijian bagi meningkatkan produktiviti, kecekapan dan daya saing melalui penggunaan teknologi pertanian moden.
“Projek ini membuktikan bahawa tanaman jagung bijian boleh dimajukan secara berskala besar, tersusun dan berimpak tinggi dengan penggunaan teknologi yang sesuai,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Projek berkenaan dilaksanakan di bawah inisiatif NCER Agribio Economic Zone (NAEZ) dengan kerjasama FGV Integrated Farming Sdn Bhd dan Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA).
Di FCAV, penanaman jagung bijian dibangunkan menggunakan sistem pengairan automatik, centre-pivot berskala besar, pemantauan digital serta pengurusan ladang berasaskan kecerdasan buatan (AI).
Pendekatan moden itu menunjukkan hasil memberangsangkan dengan purata pengeluaran sekitar 4.07 tan metrik sehektar, sekali gus membuktikan potensi besar sektor jagung bijian tempatan.
Mohamad berkata, pembangunan sektor ini penting memandangkan Malaysia masih bergantung kepada import melebihi 3.8 juta tan metrik jagung bijian setahun, terutamanya bagi kegunaan makanan ternakan.
“Kementerian akan terus memodenkan sektor ini bagi mengurangkan kebergantungan import, menstabilkan rantaian bekalan makanan ternakan serta membuka peluang ekonomi baharu kepada rakyat melalui pertanian moden dan contract farming,” katanya.
Untuk rekod, Projek Jagung Bijian FCAV merupakan antara usaha strategik Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan untuk membina sektor agromakanan yang lebih mampan, berdaya tahan dan berdaulat selaras agenda keterjaminan makanan negara.
Baca juga:








