LARUT: Projek Jalan Baharu Kamunting–Anak Kurau (Fasa 2) kini mencatat kemajuan memberangsangkan sebanyak 70.5 peratus mendahului jadual pembinaan sebanyak 59 hari dan dijangka siap sepenuhnya menjelang Ogos 2026.
Projek strategik itu dijangka memendekkan masa perjalanan dari 45 minit kepada hanya 15 minit, sekali gus memberi manfaat langsung kepada lebih 5,000 penduduk setempat serta merangsang pertumbuhan ekonomi luar bandar di Daerah Larut, Matang dan Selama.
Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, projek itu bukan sahaja mempercepatkan mobiliti tetapi turut membuka peluang ekonomi baharu kepada masyarakat kampung dan pengusaha pertanian.
“Antara manfaatnya, ia dapat memberi peluang kepada orang-orang kampung serta pengusaha pertanian dan perladangan antaranya kelapa sawit, durian dan petai bagi mengembangkan lagi perniagaan dalam meningkatkan kegiatan ekonomi dan sosial di Daerah Larut, Matang dan Selama,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Selain itu, katanya, akses jalan raya alternatif itu dijangka merancakkan aktiviti pelancongan dan rekreasi di kawasan tumpuan seperti Lata Sempeneh dan Seven Beret Campsite, sekali gus memperkukuh ekonomi tempatan.
“Projek ini bakal memendekkan perjalanan dari 45 minit kepada hanya 15 minit, memberi manfaat kepada lebih 5,000 penduduk setempat dan merangsang ekonomi luar bandar,” katanya.
Perdana Menteri turut menegaskan komitmen kerajaan dalam memperkasa kemudahan asas demi kesejahteraan rakyat luar bandar.
“Kerajaan akan terus memastikan kemudahan asas terus diperkasa demi kesejahteraan rakyat luar bandar,” ujarnya.