Oleh: Tyah Helmi
PETALING JAYA: Dakwaan bahawa Tanah Rizab Melayu di Kampung Sungai Pening telah tergadai ekoran projek pembinaan jalan pintasan menuju ke Lebuhraya SILK disangkal sepenuhnya.
Timbalan Pengerusi KHK Group, Datuk Zainol Abidin Mohamed berkata, tiada seinci pun tanah rizab tergadai.
Sebaliknya, pihak Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) bersama Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian (JKPTG) telah melaksanakan proses gantian dengan menukar 39 lot tanah yang terlibat kepada 39 ekar tanah baharu di kawasan berhampiran dengan keluasan yang sama.
Menurut beliau, langkah itu selaras dengan mekanisme undang-undang yang mewajibkan setiap pengambilan tanah diganti semula dengan keluasan setara.
“Dalam isu Tanah Rizab Melayu, jika sebarang pengambilan dibuat maka hendaklah dibuat gantian tanah yang diambil.
“Jika satu ekar tanah diambil maka wajib mengganti satu ekar tanah. Itu mekanisme dan undang-undang yang sedang berkuatkuasa,” katanya.
Beliau menjelaskan perkara itu kepada Malaysia Bangkit pada Khamis, sekali gus menepis dakwaan bahawa Kerajaan Negeri Selangor telah menggadaikan tanah rizab berkenaan.
Zainol Abidin turut menegaskan bahawa semua tanah gantian tersebut akan kekal diwartakan sebagai Tanah Rizab Melayu bagi memastikan statusnya tidak berubah.
Untuk info, projek jalan pintasan itu berada di bawah seliaan Kerajaan Persekutuan dengan kerjasama Kerajaan Negeri Selangor.
Justeru katanya, setiap langkah pembinaan dilaksanakan mengikut prosedur perundangan yang sah.
Tambah beliau, segala perbincangan berhubung projek itu dijalankan melalui mesyuarat rasmi bersama pegawai kanan jabatan serta agensi berkaitan.
Terdahulu, media melaporkan seramai 48 pemilik lot tanah di Kampung Sungai Pening, Semenyih meluahkan rasa tidak puas hati kerana mendakwa tanah mereka akan diambil untuk projek tersebut.
Penduduk turut bimbang laluan baharu itu akan memintas kampung melalui kawasan perkuburan serta tanah milik mereka.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semenyih, Nusi Mahfodz berkata, keresahan penduduk berpunca daripada ketidakpastian terhadap nasib tanah mereka.
“Seluruh pemilik tanah berasa bimbang akan apa sebenarnya yang akan berlaku ke atas tanah mereka, sekiranya jalan dibuat sedangkan terdapat jalan-jalan yang lain boleh dinaiktaraf bagi menjadikan pintasan sehingga ke Lebuh Raya Silk itu,” katanya.








