MUAR: Projek pembangunan berimpak tinggi Maharani Freeport dijangka mewujudkan sekurang-kurangnya 45,000 peluang pekerjaan.
Peluang itu bukan sahaja kepada rakyat tempatan sekali gus menjadi pemangkin utama pertumbuhan ekonomi di daerah Muar dan negeri Johor secara keseluruhan.
Dalam ucapannya Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, peluang pekerjaan itu merangkumi sektor logistik, pelabuhan, tenaga, perkhidmatan, teknologi, pembinaan kapal, pendidikan serta pelbagai industri sokongan yang berkaitan dengan ekosistem freeport berkenaan.
Menurut beliau, projek berskala mega itu bukan sekadar pembangunan fizikal, sebaliknya satu transformasi ekonomi yang akan membuka ruang luas kepada belia, tenaga mahir tempatan serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk turut serta dalam rantaian nilai global.
“Projek ini adalah projek daripada rakyat untuk rakyat.
“Ia bukan sahaja mewujudkan puluhan ribu peluang pekerjaan, malah akan melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi serta meningkatkan pendapatan isi rumah di kawasan ini,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Maharani Freeport, di sini, pada Sabtu.
Anwar berkata, kedudukan strategik Maharani Freeport di pintu masuk selatan Selat Melaka memberikan kelebihan besar kepada Malaysia dalam sektor perdagangan maritim, memandangkan hampir 100,000 kapal melalui perairan berkenaan setiap tahun.
“Dengan status freeport dan kemudahan bertaraf dunia, kawasan ini akan menjadi hab pemindahan kargo, logistik dan perdagangan serantau yang menghubungkan pasaran Asia dengan Timur Tengah serta Eropah,” katanya.
Beliau turut menjelaskan bahawa bagi memastikan kejayaan projek itu, kerajaan melalui Kementerian Kewangan telah meluluskan pakej insentif cukai yang komprehensif kepada pemaju induk serta syarikat yang terlibat dalam operasi pelabuhan laut dalam, hab tenaga bersepadu dan perkhidmatan berkaitan perdagangan.
Insentif khas turut diberikan kepada sektor sokongan termasuk pusat data, infrastruktur dan utiliti, teknologi hijau, pelancongan perubatan serta hospitaliti bagi merancakkan lagi ekosistem perniagaan di sekitar freeport tersebut.
Dalam pada itu, Anwar menegaskan komitmen kerajaan terhadap pembangunan mampan apabila Maharani Freeport dirancang dengan pengintegrasian teknologi hijau, penggunaan tenaga boleh baharu dan inovasi digital bagi mengurangkan pelepasan karbon serta meningkatkan kecekapan operasi.
Mengulas impak jangka panjang, beliau berkata, projek itu dijangka mengubah landskap ekonomi Muar daripada sebuah bandar tradisional kepada antara sempadan ekonomi baharu paling dinamik di negara ini, sekali gus memperkukuh daya saing Johor sebagai negeri teraju pembangunan nasional.
Pada majlis sama, Anwar turut mengumumkan bahawa kerajaan telah mewartakan secara rasmi status Maharani Freeport dan zon bebasnya pada 28 November lalu, sekali gus membuka laluan kepada permulaan operasi penuh projek berkenaan.
“Maharani Freeport kini dibuka untuk perniagaan dan bersedia menjadi pemangkin baharu pertumbuhan ekonomi negara,” katanya.
Majlis pelancaran itu turut diserikan dengan keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, yang melambangkan sokongan penuh Institusi Diraja terhadap pembangunan ekonomi strategik negara.








