KUALA TERENGGANU: Projek perumahan yang sebelum ini dikategorikan sebagai projek sakit di bandar ini kini memasuki fasa akhir dengan usaha dipercepatkan bagi memastikan penyerahan kepada pembeli dapat dilakukan dalam masa terdekat.
Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Aiman Athirah Sabu berkata, projek melibatkan 18 unit rumah teres dua tingkat itu berdepan kelewatan akibat isu teknikal berkaitan kebenaran izin lalu bagi kerja rentangan kabel elektrik.
“Isu berkenaan bagaimanapun berjaya diselesaikan pada November 2025 dan projek kini berada pada peringkat akhir,” katanya selepas mengadakan lawatan kerja ke tapak projek berkenaan.
Projek yang dibangunkan oleh PY.JR Development Sdn. Bhd. pada asalnya dijadualkan siap pada Mac 2016, namun tertangguh susulan kekangan melibatkan beberapa petak tanah.
Kini katanya, ia sedang menunggu kelulusan daripada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri Terengganu berikutan pelaksanaan projek tebatan banjir di kawasan tersebut.
Menurut Aiman Athirah, perbincangan menyeluruh bersama semua agensi berkaitan telah diadakan bagi mempercepatkan proses kelulusan serta pelaksanaan kerja yang tertangguh.
“Struktur bangunan bagi kesemua unit rumah telah siap sepenuhnya dan hanya menunggu penyelesaian kerja-kerja berkaitan utiliti.
“Projek ini dijangka memperoleh Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC) sebaik sahaja kerja rentangan kabel elektrik diselesaikan,” katanya.
Lawatan itu turut disertai wakil pelbagai agensi termasuk Tenaga Nasional Berhad (TNB), Jabatan Kerja Raya (JKR), Indah Water Konsortium (IWK) serta Syarikat Air Terengganu (SATU).








